[VIDEO] Lelaki tembak Monyet "Baby Sayang' diburu polis
00:05 May 23, 2019  |  By SabahKini2
[VIDEO] Lelaki tembak Monyet

Suspek boleh disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan

 

POLIS sedang mengesan lelaki yang menembak seekor monyet menggunakan pistol yang tular di media sosial. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, berdasarkan rakaman yang tular itu, lelaki berkenaan melanggar dua peraturan.

“Dari segi penyalahgunaan senjata api, seseorang individu yang memiliki lesen tidak boleh sewenang-wenang melepaskan tembakan. Setiap tembakan, walaupun sebutir peluru perlu diisytiharkan.

“Bagi kesalahan kedua, kita tidak dibenarkan untuk membunuh binatang kerana ia dikira sebagai menganiaya seperti kes lelaki yang memasukkan kucing ke dalam mesin pengering yang berlaku September tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek boleh disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti video berkenaan dan menyiasatnya sebelum mengesan lelaki yang bertanggungjawab membunuh haiwan itu.

“Berdasarkan rakaman itu, kejadian dipercayai berlaku di negara ini berdasarkan bahasa digunakan, namun kami perlu memastikan lokasi sebenar kejadian itu,” katanya.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Lelaki berkenaan menyuruh monyet berkenaan memanggilnya ‘Baby sayang’ sebelum menembak haiwan itu selepas kiraan tiga, malah sempat menunjukkan kesan darah di situ.

Comment