Sektor kejuruteraan, pembinaan, hartanah catat penurunan pengambilan pekerja dalam talian
15:06 Jun 06, 2019  |  By SabahKini2
Sektor kejuruteraan, pembinaan, hartanah catat penurunan pengambilan pekerja dalam talian

satu-satunya sektor yang mencatatkan penguncupan dalam kalangan sembilan industri dipantau Monster Employment Index (MEI).

KUALA LUMPUR: Pengambilan pekerja dalam talian bagi sektor kejuruteraan, pembinaan dan hartanah menyaksikan penurunan ketara sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun pada April 2019.

Ia menjadikan satu-satunya sektor yang mencatatkan penguncupan dalam kalangan sembilan industri dipantau Monster Employment Index (MEI).

Monster.com dalam satu kenyataannya berkata, MEI adalah pengukuran aktiviti pengambilan pekerja dalam talian yang dikumpulkan setiap bulan oleh Monster.com, merekodkan industri dan pekerjaan yang menunjukkan pertumbuhan tertinggi dan terendah dalam aktiviti pengambilan pekerja tempatan.

Katanya, aktiviti pengambilan pekerja dalam talian dalam sektor teknologi maklumat, penyedia perkhidmatan telekomunikasi/internet, dan industri perkhidmatan penyumberan luar proses perniagaan/teknologi maklumat, pula mencatatkan pertumbuhan tertinggi tahun ke tahun sebanyak 43 peratus pada April 2019.

“Sektor runcit, terutamanya mencatatkan aliran meningkat ketara dalam aktiviti pengambilan pekerja dalam talian bagi bulan kedua berturut-turut pada April, 2019, dengan kenaikan 26 peratus bagi asas tahunan,’’ katanya.

Katanya, pengambilan pekerja dalam talian dalam sektor minyak dan gas juga menyaksikan peningkatan 16 peratus tahun ke tahun pada April 2019.

Keseluruhan pertumbuhan tahunan dalam pengambilan pekerja dalam talian mencatatkan kenaikan tujuh peratus tahun ke tahun pada April 2019, dengan lapan daripada sembilan industri menunjukkan pertumbuhan tahunan positif.

Daripada sembilan fungsi pekerjaan yang dipantau oleh MEI, kejuruteraan/pengeluaran, hartanah mencatatkan penurunan ketara sebanyak enam peratus tahun ke tahun pada April, manakala permintaan terhadap perisian, perkakasan, profesional telekomunikasi mencatatkan aliran meningkat tertinggi sebanyak 41 peratus tahun ke tahun pada April 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah Monster.com, Abhijeet Mukherjee berkata peningkatan pengambilan pekerja dalam talian dijangka terus meningkat, walaupun dengan kadar perlahan, terutamanya kerana sesetengah sektor menunjukkan penurunan ketara.

“Ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang kukuh dan meyakinkan, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka berkembang masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 4.8 peratus.

"Selepas peningkatan ketara dalam suku pertama, suku kedua dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif,’’ katanya. - BERNAMA

Comment