Pelantikan Latheefa ikut undang-undang kata Menteri
12:06 Jun 06, 2019  |  By SabahKini2
Pelantikan Latheefa ikut undang-undang kata  Menteri

Memetik Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 yang menyatakan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri melantik ketua pesuruhjaya," Liew menjelaskan pelantikan oleh Dr Mahathir itu berlandaskan peruntukan undang-undang.

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mempertahankan tindakan Perdana Menteri Dr Mahatahir Mohamad secara bersendirian melantik peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM.

Memetik Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 yang menyatakan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri melantik ketua pesuruhjaya," Liew menjelaskan pelantikan oleh Dr Mahathir itu berlandaskan peruntukan undang-undang.

"Perdana menteri melaksanakan bidang kuasanya di bawah peruntukan khusus untuk (menasihatkan) pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya.

"(Akta SPRM) tidak menyatakan beliau mesti merujuk pelantikan tersebut kepada jawatan kuasa pilihan khas (parlimen mengenai lantikan jawatan utama perkhidmatan awam) atau kepada kabinet untuk mendapat kelulusan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa Koya untuk dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Pengerusi PH itu juga berkata bahawa keputusan itu dibuatnya tanpa berbincang dengan kabinet.

Dr Mahathir menjelaskan kadang-kala terdapat kejutan dan beliau berkata memilih Latheefa kerana perwatakan peguam itu.

"Sebab dia sangat tegas, dia kata apa yang betul.

"Dia tak berlapik, kita perlukan perwatakan yang tegas," katanya.

Menjawab soalan mengenai pengumuman mengejut daripada perdana menteri itu, Liew berkata tindakan Dr Mahathir itu selaras dengan peruntukan undang-undang.

"Itu memang bidang kuasanya, beliau berhak berbuat apa yang beliau suka kerana undang-undang membenarkan beliau bertindak demikian," katanya.

Pelantikan Latheefa dibuat berdasarkan kontrak selama dua tahun sehingga 1 Jun 2021 itu telah mendapat kritikan dan pujian.

 

 
2 Comments