[VIDEO] Lelaki ‘Rumah Kongsi’ mengamuk tikam Isteri hingga mati di Teluk Likas
10:06 Jun 17, 2019  |  By SabahKini2
[VIDEO] Lelaki ‘Rumah Kongsi’ mengamuk tikam Isteri hingga mati di Teluk Likas

Lagi kes bunuh kini di rumah kongsi di Likas apabila seorang isteri warga tua ditikam hingga mati.

Video- Berita Harian

Kota Kinabalu: Tidak cukup menikam isterinya hingga mati, seorang lelaki turut membakar rumah kongsi pekerja sebuah kilang di Jalan Teluk Likas, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Ayang Hamjani, 62, disahkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, akibat kesan tikaman pada tubuhnya.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh jiran yang juga rakan sekerja mangsa selepas terdengar suara pergaduhan antara mangsa dengan suaminya dipercayai akibat masalah rumah tangga, kira-kira jam 2 pagi.

Dalam kejadian itu, suspek menjerit supaya orang lain tidak mencampuri urusan mereka sebelum menutup pintu dengan lapisan kayu.

Jiran yang bimbang keselamatan mangsa kemudian menghubungi anak lelaki mangsa, namun sebaik tiba keadaan rumah berasap menyebabkan dia terus merempuh masuk menyelamatkan ibunya dan memadam api.

Mangsa yang parah akibat ditikam menggunakan pisau di bahagian tubuhnya oleh suspek kemudian dikejarkan ke HWKKS untuk rawatan lanjut.

Sepasukan polis yang tiba sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu cuba menenangkan suspek dan mengarahnya untuk menyerah diri, namun suspek enggan dan bertindak agresif dengan membaling benda keras ke arah anggota polis sebelum sekali lagi membakar rumah berkenaan tetapi berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.

Sebaik api dipadamkan, suspek masih enggan keluar dan bersembunyi di bawah kolong rumah kongsi berkenaan walaupun beberapa kali diarah supaya menyerah diri.

Suspek akhirnya diberkas selepas dia cuba melarikan diri melalui tingkap rumah di bahagian dapur setengah jam kemudian.

Suspek yang turut luka di leher akibat terkena zink ketika bersembunyi, dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, mangsa yang menerima rawatan di hospital disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman.

“Suspek berusia 60-an yang juga suami mangsa berjaya diberkas pasukan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BH

 

Comment