Lagi 10 Nelayan diculik Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu
10:06 Jun 18, 2019  |  By SabahKini2
Lagi 10 Nelayan diculik Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu

Tidak lama selepas IGP memberi amaran tentang penculikan kini berlaku lagi.

KOTA KINABALU: Tidak lama selepas amaran Ketua Polis Negara, hari ini sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai Abu Sayyaf dilaporkan menculik 10 mangsa dalam kejadian terbaharu di perairan Sabah berhampiran kepulauan Tawi-Tawi awal pagi ini.

Menurut sumber, kesemua mangsa diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu semasa dalam perjalanan ke Semporna kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Identiti dan kerakyatan kesemua mangsa bagaimanapun masih belum dapat ditentukan.

Kata sumber itu, penculik menggunakan dua bot laju menghampiri mangsa yang sedang belayar menggunakan dua buah bot nelayan.

“Bot pertama dinaiki enam orang dengan empat daripadanya diculik manakala enam daripada 10 penumpang di bot kedua turut diculik.

“Penculik berkenaan kemudiannya memecut bot dinaiki ke Pulau Sitangkai di selatan Filipina,” katanya.

Kata sumber, enam lagi mangsa yang tidak diculik diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Difahamkan, kedua-dua bot nelayan itu berada di laut tanpa permit dan melanggar perintah berkurung yang dikuatkuasakan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, mengesahkan telah menerima maklumat tersebut, namun belum ada laporan rasmi diterima.

Belum Terima Laporan Kes Culik - Komander Esscom

Sementara itu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) belum menerima laporan berhubung dakwaan kes penculikan membabitkan 10 nelayan warga Filipina di perairan Sabah berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi, Selatan Filipina, awal pagi ini.

Komander ESSCom, Datuk DCP Hazani Ghazali berkata demikian ketika diminta mengulas satu laporan akhbar nasional berhubung kejadian yang dikatakan berlaku pada 2 pagi tadi.

“Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan, dan kejadian tidak pasti sama ada berlaku di perairan Malaysia atau Filipina,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan akhbar The Star itu, kumpulan bersenjata berkaitan Abu Sayyaf yang menaiki dua bot itu menculik 10 nelayan dari dua bot di perairan Tambisan, Lahad Datu yang menuju ke Semporna.

Penjenayah dan mangsa dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu.

 

1 Comment