Gagal tangani penculikan: Shafie desak Kerajaan Pusat pindahkan Kem ATM Lok Kawi ke Lahad Datu
02:06 Jun 20, 2019  |  By SabahKini2
Gagal tangani penculikan: Shafie desak Kerajaan Pusat pindahkan Kem ATM Lok Kawi ke Lahad Datu

Selepas bajet keselamatan maritim dipotong RM584 juta, Esscom dipotong 10% dan perolehan "forward operating base" ESSCOM dimansuhkan kini Shafie mohon Kem Lok Kawi dipindahkan.

TAWAU: Kerajaan Pusat didesak supaya memindahkan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Lok Kawi ke Pantai Timur, khususnya di Lahad Datu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata gesaan itu sudah dimaklumkan kepada kepimpinan pusat berikutan ancaman lanun yang masih berlaku.

“Bukan ada lanun di sana (Kota Kinabalu), yang ada ancaman ini di Lahad Datu, Semporna dan Tawau,” katanya, yang percaya masanya sudah tiba untuk pemindahan itu.

Shafie berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Warisan Sabah Parlimen Tawau dan Parlimen Kalabakan di sini pada Rabu.

Niat Shafie Apdal memindahkan Kem Lok Kawi bukan baru malah dalam siri kempen Warisan sebelum PRU ke 14 pun ia sebahagian dari manifesto Warisan. 

[ARTIKEL BERKAITAN- Shafie Apdal bakal kotakan janji pindahkan Kem Lok Kawi? ]

Mengulas lanjut, beliau berkata kepentingan di Pantai Timur khususnya seperti di Lahad Datu bukan hanya melibatkan keselamatan rakyat dan pelancong, tetapi juga pelabur.

“Saya akan bertemu dengan sebuah syarikat pelabur yang berminat melabur dalam bidang hiliran baja bernilai kira-kira RM13 bilion ” katanya.

Menurutnya, aspek keselamatan di Pantai Timur dilihat lebih memerlukan untuk sebuah kem tentera kerana ancaman yang ada bukanlah perkara asing kerana sering melanda.

“Kita harap dapat ditingkatkan usaha untuk menempatkan bilangan anggota yang benar-benar diperlukan kerana anggota yang ada (sekarang masih) tidak mencukupi.

“Kita minta supaya ada kelengkapan kemudaha dan saya juga sudah minta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya jangan letak kapal di Kota Kinabalu.

“Buat apa berpusing di Kota Kinabalu? Berpusinglah di sini (Pantai Timur) yang amat memerlukan (kehadiran bot pasukan keselamatan memantau perairan negara),” katanya.

Menyentuh penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pula, Ahli Parlimen Semporna itu berharap perkara terbabit dapat dipercepatkan. 

Baru-baru ini berlaku lagi satu penculikan melibatkan 10 nelayan di perairan Lahad Datu yang terus mengancam keselamatan rakyat Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Lagi 10 Nelayan diculik Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu ]

Komen-komen dalam media sosial, rakyat menyalahkan kerajaan PH kerana bajet keselamatan maritim dipotong RM584 juta berbanding masa BN dahulu ia termasuk memotong bajet khusus kos operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dipotong 10% dan bajet perolehan untuk "forward operating base" ESSCOM dimansuhkan sepenuhnya. 

Pemotongan bajet Esscom mengundang padah apatah lagi pada bulan April 2019 pula, Amerika Syarikat menyenaraikan Sabah sebagai kawasan berisiko tinggi. 

Oleh itu cadangan pemindahan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Lok Kawi ke Pantai Timur, khususnya di Lahad Datu bukanlah satu cadangan terbaik.

10 Comments