YTLC tamat kontrak 30 Jun 2019, bukan ditamatkan KPM kata KSU KPM
06:07 Jul 06, 2019  |  By SabahKini2
YTLC tamat kontrak 30 Jun 2019, bukan ditamatkan KPM kata KSU KPM

1BestariNet oleh YTLC hanya beri keuntungan besar buat YTL. Malah terdapat kos tersembunyi seperti caj elektrik RM41,881,384.98 di 2,715 tapak menara telekomunikasi. YTL tidak pernah membayarnya...

PUTRAJAYA: 30 Jun 2019 lalu adalah detik berakhirnya legasi Taikun YTL apabila kontrak penyedia perkhidmatan 1BestariNet tamat dan tidak disambung.

Projek kontroversi yang dimulakan di zaman Tan Sri Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan ini tidak mudah ditamatkan malah fasa 2 terpaksa disambung oleh Menteri Pendidikan selepas itu Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Hayat 1BestariNet dan YTL ‘terputus nyawa’ apabila Menteri Pendidikan baru YB Dr Maszlee Malik nampaknya tidak mahu menyambungnya tetapi membuka ruang 6 bulan tempoh interim kepada  tiga syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn Bhd mulai 1 Julai 2019.

Dalam tempoh itu, KPM akan memilih ISP baharu bagi tempoh bermula dari 1 Januri 2020, selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan yang perlu.

Susulan tindakan KPM itu, YTL dalam satu kenyataan yang dilaporkan portal Malaysiakini ‘menyerang’ KPM kononnya melanggar obligasi kontrak serta berlaku tidak adil kepada YTLC apabila mengupah tiga pembekal tanpa tender.

Dalam masa sama YTL mendakwa bahawa kementerian telah memohon perkhidmatan internet percuma untuk 10,000 sekolah yang melaksanakan persekitaran pembelajaran maya (VLE) tertakluk kepada tender pada 1 Januari, 2020.

Kenyataan balas KPM kepada YTL

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan pihaknya melanggar kewajipan kontrak berhubung penamatan kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) sebagai penyedia perkhidmatan 1BestariNet.

PERJANJIAN YTL RM1.5 BILION TAMAT 30 JUN 2019- BUKAN DITAMATKAN



Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata berdasarkan perjanjian, kontrak perkhidmatan YTLC telah tamat pada 30 Jun lepas, dan bukannya ditamatkan KPM.

Menurutnya, YTLC diberi kontrak 1BestariNet Fasa 1 bagi tempoh 13 Dis 2011 hingga 30 Jun 2016, termasuk lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali sebelum kontrak fasa kedua yang bermula 1 Julai 2016 hingga 30 Jun lepas.



"Justeru, dakwaan KPM telah melanggar obligasi kontrak serta berlaku tidak adil kepada YTLC dan telah menamatkan kontrak syarikat itu adalah tidak adil dan tidak benar sama sekali," katanya pada sidang media di sini.

Mengenai dakwaan YTLC bahawa pihaknya ada menawarkan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sehingga tender baharu dibuat telah ditolak, Mohd Gazali berkata pihaknya juga telah menolak tawaran beberapa syarikat pembekal lain.

Ia termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi menyediakan perkhidmatan internet kepada 10,000 sekolah untuk tempoh interim tersebut, kata Mohd Gazali."Sepanjang tempoh lapan tahun perkhidmatan, kami tahu kelebihan dan kelemahan YTLC, dan sebab itu kami akan gunakan tempoh interim ini untuk meneroka teknologi baharu yang ditawarkan syarikat telekomunikasi lain.

"Antara lain, tawaran YTLC ditolak kerana terdapat kos tersembunyi," katanya.

Sebagai contoh, Mohd Gazali berkata kementerian terpaksa menanggung kos caj elektrik sebanyak RM41,881,384.98 melibatkan 2,715 tapak menara telekomunikasi sedangkan hakikatnya ia perlu dibayar syarikat tersebut.

Katanya, YTLC TIDAK PERNAH MEMBAYAR caj elektrik struktur menara telekomunikasi yang dipasang di sekolah sejak Kontrak Perkhidmatan 1Bestarinet Fasa 2 bermula sehingga kini.

"Laporan Ketua Audit Negara telah membuat teguran berkaitan caj elektrik supaya kos tersebut ditanggung oleh YTLC kerana menara telekomunikasi yang dipasang adalah juga untuk tujuan komersial selain untuk kegunaan sekolah," tambahnya. 

Selain itu, menurut Mohd Gazali, kerajaan juga berpotensi kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi sebanyak RM32,580,000 setahun jika khidmat YTLC diteruskan.

Portal Sabahkini2 sebelum ini mendedahkan Skandal 1Bestarinet membolehkan YTL mengaut untung ratusan juta dengan bil bulanan tidak munasabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Skandal 1Bestarinet: YTL untung ratusan juta bil bulanan tak masuk akal, kerajaan rugi, rakyat derita ]

Penetapan harga yang terlalu tinggi ini membolehkan YTL mengaut keuntungan mudah sebanyak RM300 juta setahun, hanya dengan membekalkan perkhidmatan talian internet pada tahap sekadarnya kepada makmal komputer sekolah-sekolah di seluruh negara.

YTL menjana pulangan 21,350% lebih banyak daripada apa yang sepatutnya diperoleh oleh pemain-pemain industri itu bagi jumlah penggunaan yang sama, dan ini sahaja pun sudah membolehkannya mengutip lebihan caj sehingga RM100 juta.

Kontrak fasa ke-2 yang berjumlah lebih daripada RM1.5 bilion untuk tempoh 3 tahun, sentiasa menjadi rahsia yang tersimpan rapi antara YTL dengan Kementerian. 

Menteri Pendidikan Dr Mazlee sudah tentu tidak akan berani mendedahkannya kerana kes YTL bermula di zaman Tan Sri Muhyiddin lagi. Mereka menggelar projek ini projek 'Anak menantu'.

Hari ini KPM masih meluluskan permohonan YTLC untuk pengguna komersial syarikat itu kekal menggunakan pemancarnya di kawasan sekolah selama tiga bulan sehingga 30 Sept depan.

Jelasnya lagi, KPM turut melihat kelemahan yang dihadapi dalam pelaksanaan Projek 1BestariNet Fasa 2 akan berulang selain tidak dapat meneroka teknologi terkini dan bersesuaian untuk KPM sendiri.

Dalam pada itu, katanya, dapatan hasil kajian impak dan hala tuju pendidikan digital negara yang dijalankan ke atas guru, pelajar dan pentadbir mendapati kualiti capaian internet yang dibekalkan YTLC tidak memuaskan dan ia tidak dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pihak kerajaan.

Mohd Gazali menegaskan segala tindakan yang diambil berkaitan 1BestariNet adalah demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran berkualiti, selain mengoptimumkan sumber kewangan negara.

1 Comment