Angkara bom ikan Semporna: Dua pelancong China, penyelam skuba tempatan maut
21:07 Jul 06, 2019  |  By SabahKini2
Angkara bom ikan Semporna: Dua pelancong China, penyelam skuba tempatan maut

Nampaknya pelancong asing tidak selamat lagi ke Semporna untuk melakukan aktiviti menyelam. Kegiatan warga Semporna menggunakan bom ikan menyebabkan kematian pelancong.

SEMPORNA - Dua pelancong China serta seorang penyelam skuba tempatan maut dipercayai terkena bom ikan di Pulau Kalapuan dekat sini, petang tadi.

Difahamkan, kejadian menimpa ketiga-tiga lelaki itu berlaku ketika menyelam, kira-kira pukul  5.50 petang di pulau berkenaan.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna, Jamilah Ang Kher Lern ketika dihubungi mengakui berlaku kemalangan maut melibatkan pelancong dan penyelam skuba di Semporna, hari ini.

Namun katanya, punca kemalangan maut itu belum diketahui dan perlu menunggu laporan bedah siasat.

Terbaru, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew dipetik Bernama berkata, dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan maut sewaktu menyelam akibat terkena bom ikan.

"Kami sedih untuk melaporkan berlaku insiden pada 5.50 petang di Semporna. Ini sangat menyedihkan kami kerana ia melibatkan pengeboman ikan secara haram yang menyebabkan kematian kepada  pelancong dan jurulatih selaman kita.

"Kami telah memaklumkan kepada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu dan Ketua Menteri Sabah mengenai tragedi sedih ini. Pegawai Lembaga Pelancongan Sabah akan memantau situasi itu," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Beliau berkata kawasan itu berlaku di luar Taman Marin Tun Sakaran.

Comment