25 Julai pengurusan kes LHDN saman Najib hutang cukai RM1.69 bilion
07:07 Jul 09, 2019  |  By SabahKini2
25 Julai pengurusan kes LHDN saman Najib hutang cukai RM1.69 bilion

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman itu terhadap Najib memintanya membayar RM1,692,872,924.83, faedah pada 5% setahun dari tarikh penghakiman serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkam

KUALA LUMPUR: Pengurusan kes saman kerajaan terhadap Najib Razak bagi menuntut cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017 ditetapkan pada 25 Julai ini.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan tarikh itu semalam selepas kes itu dikemukakan kepadanya melalui sistem e-review (forum dalam talian sistem e-Mahkamah yang membolehkan pegawai kehakiman dan wakil undang-undang menjalankan pengurusan kes melalui pertukaran mesej bertulis tanpa perlu ke mahkamah).

Pengurusan kes pada 25 Julai ini akan didengar di depan Erry Shahriman.

Difahamkan, writ saman sudah diserahkan kepada Najib sebagai defendan tunggal pada 4 Julai lalu.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman itu terhadap Najib memintanya membayar RM1,692,872,924.83, faedah pada 5% setahun dari tarikh penghakiman serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam kenyataan tuntutan itu, kerajaan berkata, seperti dinyatakan notis penilaian tambahan bertarikh 20 Mac 2019, penilaian cukai tambahan ke atas pendapatan Najib bagi tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 adalah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41.

Kerajaan mendakwa notis itu dihantar melalui pos berdaftar kepada Najib pada 25 Mac lalu ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dekat sini dan surat itu tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Menurutnya, memandangkan Najib gagal membayar cukai dalam 30 hari ditetapkan seperti dikehendaki di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, jumlah itu meningkat 10% sebanyak RM11,617,337.41; RM32,092,993.23; RM89,157,346.54; RM11,914,465.55; RM1,687,950.00; RM64,344.52 dan RM34,647.14 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Najib diberi 60 hari membayar cukai itu bersama kenaikan 10%, tetapi LHDN mendakwa ahli Parlimen Pekan itu masih gagal berbuat demikian.

Susulan itu, Najib dikenakan kenaikan 5% lagi daripada kenaikan 10% itu yang berjumlah RM6,389,535.57; RM17,651,146.27; RM49,036,540.60; RM6,552,956.05; RM928,372.50; RM35,389.48 dan RM19,055.92 bagi tahun taksiran ditetapkan, menjadikan jumlah keseluruhan cukai pendapatannya berjumlah RM1,692,872,924.83.-FMT

1 Comment