(VIDEO) Kes buli pelajar cina di Miri: Polis kesan 'Pembuli' 17 tahun
10:07 Jul 17, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Kes buli pelajar cina di Miri: Polis kesan 'Pembuli' 17 tahun

Polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MIRI: Polis sedang mencari seorang lagi suspek berusia 17 tahun bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun pada 8 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata empat suspek telah berjaya ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Lim berkata suspek yang tidak lagi bersekolah itu menghilangkan diri sebaik sahaja video kes buli berkenaan tular di laman sosial.

"Bagaimanapun, dengan penangkapan empat suspek terbabit sekali gus telah menyelesaikan kes, dan orang ramai termasuk netizen tidak perlu memperbesarkan lagi kes buli ini," jelasnya.

Lim berkata mangsa buli berkenaan masih trauma dengan kejadian berkenaan dan ia adalah kejadian yang baharu berlaku ke atas mangsa serta bukan kejadian buli berulang.

Kes berkenaan sebelum ini terbongkar selepas bapa mangsa tampil membuat laporan polis pada Isnin mendakwa anaknya dipukul lima remaja di sebuah sekolah menengah di sini.

Video kejadian buli berkenaan tular dalam media sosial serta mendapat kecaman daripada netizen.

Mangsa dipercayai ditumbuk dan ditendang sekumpulan lima remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah di sini pada 8 Julai lalu.

Bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan anaknya berhubung video tular dalam WhatsApps yang menyaksikan mangsa sedang dibuli.

Mangsa juga takut membuat laporan kerana telah diugut oleh suspek-suspek.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

2 Comments