(VIDEO) Cermin diri sendiri, Azmin beritahu Anwar
00:07 Jul 18, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Cermin diri sendiri, Azmin beritahu Anwar

“Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’,”

PKR terus bergolak.  Dua pemimpin utamanya Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali kini mengisytihar perang secara terbuka.

Selepas gesaan Anwar agar Azmin timbalan presiden PKR  perlu meletakkan jawatan daripada Kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis,  Azmin membidas presidennya dan memintanya untuk “cermin diri sendiri”.

“Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas sidang berakhir petang ini.

Diminta pemberita untuk mengulas lanjut, katanya “Suruh Anwar muhasabah. Cermin muka dia dulu,” katanya sebelum berlalu pergi.

Bulan lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui bahawa dia adalah lelaki dalam video seks itu dan mengheret Azmin sebagai teman lelakinya.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang berttujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Malah, katanya, ia adalah kerja dalaman parti itu.

Kes video berkenaan sedang disiasat dengan polis, buat masa ini, menumpukan perhatian terhadap pihak bertanggungjawab yang merakam dan mengedarkan video seks itu.

Polis telah menahan beberapa individu termasuk Haziq dan juga seorang pembantu kepada Anwar untuk membantu siasatan.

Anwar sebelum ini pernah dipenjarakan atas kesalahan meliwat, sebelum mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong. Presiden PKR itu dibebaskan pada 16 Mei tahun lepas.

 

6 Comments