Azmin adakan doa kesyukuran selepas disahkan bukan pelaku video lucah
11:07 Jul 20, 2019  |  By SabahKini2
Azmin adakan doa kesyukuran selepas disahkan bukan pelaku video lucah

Hasil pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut ialah Azmin. Doa kesyukuran di adakan Ahad ini di rumah MB Selangor

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video intim.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, ini berdasarkan proses pengecaman wajah yang telah dijalankan oleh Cyber Security Malaysia mendapati ia adalah negatif.

"Hasil pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu (Azmin) yang dimaksudkan namun keberangkalian video tersebut tulen adalah tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, hasil siasatan polis mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik.

"Ia bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

"Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tersebut telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit," jelas beliau lagi.

Sementara itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali akan mengadakan majlis doa kesyukuran di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada Ahad ini.

Jemputan program itu hadir beberapa hari selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan perkembangan siasatan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Dijadualkan bermula pada 7.00 petang, aturcara majlis termasuklah solat hajat "buat kesejahteraan seluruh pimpinan dan masyarakat agar dijauhkan dari bahana fitnah durjana".

Menurut seorang pembantu kepada Menteri Besar Selangor, yang mengesahkan jemputan itu, program itu dianjurkan oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

"Seluruh pimpinan dan anggota, serta semua rakyat yang menolak fitnah dipersilakan dan dijemput hadir bersama," kata jemputan itu.

 

 

3 Comments