Kerajaan Negeri Sabah wajar contohi Azmin Ali saran guna teknologi baharu Dron tingkat hasil pertanian
06:07 Jul 29, 2019  |  By SabahKini2
Kerajaan Negeri Sabah wajar contohi Azmin Ali saran guna teknologi baharu Dron tingkat hasil pertanian

Sabah bakal melancarkan pelan tindakan pembangunan sektor pertanian, diharap bukan sekadar retorik menyeru rakyat menukar tanaman daripada kelapa sawit, getah, padi kepada nenas & kelapa tetapi menyeluruh sehingga kepada penggunaan teknologi baharu.

KEMENTERIAN PERTANIAN & INDUSTRI MAKANAN SABAH WAJAR CONTOHI LANGKAH DATO’ SERI AZMIN ALI BERANI MENGGUNAKAN TEKNOLOGI BAHARU ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI) SEPERTI DRON TINGKATKAN HASIL PERTANIAN

Saya menyambut baik usaha Kerajaan Warisan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang akan akan melancarkan pelan tindakan pembangunan sektor pertanian negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang, pada Ogos ini.

Menurut laporan media pelan itu melibatkan dasar-dasar baharu kementerian untuk memperkasa daripada sekecil-kecil pemain dalam sektor pertanian kepada pengusaha besar-besaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat di seluruh negeri.

Walaubagaimanapun diharap pelan tindakan membangunkan sektor pertanian Sabah bukan sekadar retorik menyeru rakyat menukar tanaman daripada kelapa sawit, getah, padi kepada nenas dan kelapa tetapi lebih menyeluruh sehingga kepada penggunaan teknologi baharu yang boleh meningatkan pendapatan peladang dan petani.

Rakyat sudah terbeban dengan peningkatan kos sara hidup akibat dasar-dasar ekonomi yang lemah oleh kerajaan Pakatan Harapan yang membawa aspirasi Malaysia Baru. Kejatuhan komoditi kelapa sawit dan getah memberi kesan terus kepada golongan pekebun kecil, peneroka dan petani.

Banyak subsidi kepada petani dan pekebun kecil dipotong sehingga 75 peratus, malah ada subsidi yang turut dihapuskan. Keadaan petani dan pekebun kecil kita ibarat jatuh ditimpa tangga. 

Junz Wong perlu berani belajar kaedah yang digunakan oleh Datuk Seri Azmin Ali Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang berani menyeru FELCRA agensi di bawah kementeriannya menggunakan teknologi baharu artificial intelligence (AI) seperti dron, robotik dan analisis data untuk meningkatkan hasil pertanian. Sudah tentu ini bakal memberi manfaat kepada 112,000 peneroka FELCRA.


Agensi pertanian negeri sudah tentu dapat memanfaatkan teknologi artificial intelligence seperti dron untuk tujuan pemetaan ladang, penilaian kesihatan tanaman, penyemburan racun, baja dengan tepat ke atas kawasan pertanian selain menjimatkan penggunaan tenaga buruh, mengurangkan pembaziran serta kesan alam sekitar.

Sudah tentu ini dapat menjimatkan kos import barangan pertanian seperti baja, racun, peralatan selain produk pertanian yang memakan belanja berbilion ringgit setahun.

Di Negara seperti Taiwan penggunaan teknologi dron dalam sektor tanaman padi negara mereka mampu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman itu sehingga 10 peratus. Malah pengurangan racun sehingga 25 peratus dan kos tenaga kerja menurun sehingga 30 peratus. Di negara jiran seperti Indonesia teknologi dron meningkatkan hasil sehingga 30 peratus.

Sudah tiba masanya kementerian dan agensi negeri mendidik petani, pekebun kecil dan peladang kepada teknologi baharu. Rakyat perlu segera berubah kepada model pertanian pintar ‘Smart Farming. Precision Agriculture!

Petani dan peladang di negara ini sepatutnya sudah menjadi ‘tuan tanah’ yang memberi peluang pekerjaan kepada anak muda dengan penggunaan teknologi baharu dan bukannya sekadar mendapat hasil RM1200 hingga RM1500 sebulan.

Datuk Raime Unggi
Ketua Penerangan UMNO Sabah
29 Julai 2019

7 Comments