Ketua Konservator Hutan Sabah mengaku 49 lori balak tular libatkan konsesi Yayasan Sabah
06:08 Aug 09, 2019  |  By SabahKini2
Ketua Konservator Hutan Sabah mengaku 49 lori balak tular libatkan konsesi Yayasan Sabah

Selepas tular isu lori balak kemalangan di Batu 9, Jalan Sapulut Kalabakan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini mengesahkan 49 lori balak terlibat termasuk konsesi Yayasan Sabah yang diPengerusikan Ketua Menteri.

NABAWAN: Minggu ini tular video memaparkan 56 buah lori mengangkut balak yang terkandas di jalan raya yang menghubungkan jalan Nabawan ke Kalabakan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat mengenai kesungguhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengawal aktiviti pembalakan di negeri ini.

Video yang mula tular berdurasi 1 minit 20 saat menunjukkan puluhan lori dan kenderaan orang awam turut terkandas akibat sebuah lori jenis treler telah terbalik dan menyebabkan balak yang diangkut berjatuhan ke jalan raya.

Netizen rata-ratanya mengaitkan apa yang berlaku itu dengan aktiviti pembalakan haram.

Pada masa yang sama pelbagai pihak, termasuk aktivis-aktivis alam sekitar mempersoalkan kenapa aktiviti pembalakan dilihat semakin rancak selepas kerajaan yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah.

Klip video yang tular ini mengundang reaksi panas daripada netizen dan aktivis alam sekitar.

Portal Borneotoday 6 Julai lalu cuba menjadi jurucakap kepada Warisan dengan mendedahkan maklumat mengenai pemegang lesen jangka panjang (SFMLA) di bawah Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang dikeluarkan semasa Barisan Nasional (BN)  diketuai oleh Musa Aman, bekas Ketua Menteri, memerintah.  Dalam erti kata yang lain insiden lori balak yang banyak dan kemalangan itu adalah 'Salah Musa Aman'. 

Portal itu mendedahkan 3 syarikat iaitu First Greenworld diberikan konsesi untuk keluasan 15,000 hektar sepanjang 50 tahun dari 15 Jun, 2009 hingga 30 Jun, 2059. 

Zillion Future pula diberikan konsesi seluas 10,000 hektar untuk tempoh 100 tahun bermula dari 26 Nov, 2014.

Top Quantum memiliki konsesi untuk 10,000 hektar bagi 50 tahun bermula dari 15 Jun, 2009.

Bagaimanapun setelah disemak kontrak-kontrak demikian bukan sahaja bagi tujuan membalak tetapi kontrak menanam semula di kawasan berkenaan mengikut saiz yang dibenarkan. Malah ada kontrak itu sejak Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai Ketua Menteri lagi masih diteruskan.

Jika dilihat rekod 15 tahun Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, hutan yang berjaya ditanam semula, dipulihkan dan dirawat, meliputi kawasan seluas 700,000 hektar dan merupakan yang terbesar di Malaysia.

Bagaimanapun kenyataan itu bersama dengan video serta gambar lori balak yang tular menyalahkan 'kerajaan lama' itu terus mendapat kecaman rakyat terhadap kerajaan warisan.

“Bagaimana kerajaan yang berkuasa lebih setahun masih menyalahkan kerajaan lama’. kata Johny dalam laman facebook.

"Tidak pernah pula di zaman kerajaan BN lori balak bersusun panjang sehingga hampir 60 lori di atas jalan" kata Murshidi.

Maka timbul persoalan tentang sikap kerajaan Warisan yang tidak menguatkuasakan undang-undang sehingga hasil balak dibawa keluar boleh membahayakan keselamatan rakyat melalui jalan raya.

Menjadi persoalan juga jika alasan kerajaan Warisan sukar untuk menamatkan konsesi balak yang panjang tetapi Kerajaan Warisan boleh membatalkan konsesi air bernilai RM3.7b dengan saman ratusan juta, menghentikan eksport balak dengan saman hampir RM100 juta malah kerajaan Warisan lebih berani  membatalkan lesen balak syarikat Pelangi Prestasi Sdn Bhd (PPSB) milik Syed Mokhtar Albukhary yang membeli syarikat Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI)

1000 pekerja SFI sengsara: Komplot Kerajaan Warisan, GTC, syarikat China singkir syarikat Bumiputera PPSB!

Bukan sahaja PPSB telah membayar deposit RM120 juta malah membayar gaji pekerja lebih setahun. Kini lebih 1000 pekerja SFI tidak mendapat bayaran gaji apabila PPSB menyaman kerajaan negeri, Grant Thornton Consulting (GTC)- receiver manager) dan syarikat pulpa kertas dari China, Lee & Man Paper Manufacturing Ltd pembeli ketiga kepada SFI

[ARTIKEL BERKAITAN- 1000 pekerja SFI sengsara: Komplot Kerajaan Warisan, GTC, syarikat China singkir syarikat Bumiputera PPSB! ]

 

Lori balak kemalangan

Selepas tular isu lori balak kemalangan di Batu 9, Jalan Sapulut Kalabakan itu Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini mengesahkan sebanyak 49 lori balak terlibat termasuk 25 lori tersekat. Hanya lori First Greenworld Sdn Bhd terlibat kemalangan.

Ketua Konservator Hutan Sabah itu juga melaporkan terdapat tiga lagi pelesen yang mengangkut balak pada hari kejadian iaitu Zillion Fortune Sdn Bhd, Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, dan dua kontraktor di bawah lesen Yayasan Sabah iaitu Kontraktor Usahawan Borneo Sdn Bhd dan Kontraktor Timjadi Sdn Bhd.

Manakala Top Quantom yang didedah memiliki konsesi untuk 10,000 hektar tidak terlibat ketika kejadian.

Penglibatan Yayasan Sabah sebelum ini tidak didedahkan kepada rakyat sehinggalah insiden kemalangan itu berlaku dan mengesahkan syarikat di bawah Yayasan Sabah yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Shafie Apdal juga terlibat.

 

 

 

Comment