Pengerusi SKMM mohon lapor kandungan sensitif 3R- Race, Religion, Royalty
14:08 Aug 18, 2019  |  By SabahKini2
Pengerusi SKMM mohon lapor kandungan sensitif 3R- Race, Religion, Royalty

Amaran kepada pihak yang menyebar kandungan sensitif 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada pihak yang menyebar kandungan 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty) dalam media sosial.

Oleh itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat platform baru aduan rakyat melalui talian aplikasi WhatsApp, 016-2206262.

Selain menerusi aplikasi tersebut, rakyat juga boleh melaporkan sebarang insiden tersebut menerusi emel kepada [email protected]

Jelas SKMM, platform itu akan memudahkan proses bagi mempercepatkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kandungan 3R dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan.

Tambah suruhanjaya itu, rakyat diminta mengambil tangkap layar (screenshot) dan pautan (URL) kandungan yang tidak berhemah dalam media sosial dan hantar ke talian yang disediakan.

Malah bagi kandungan negatif yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pula, pengadu boleh mengambil tangkap layar berserta nombor telefon individu bagi tujuan aduan.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak menggesa sesiapa sahaja supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkara-perkara sensitif.

“Jangan sesekali ‘tweet’, kongsi dan membuat ulasan yang boleh menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini. Hayatilah erti kemerdekaan dan hormatilah sambutan bulan kemerdekaan yang penuh bermakna ini.

“Jadilah rakyat Malaysia yang matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan dengan ancaman yang boleh memecah belah perpaduan demi kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu mengingatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan sikap kesederhanaan ketika mengulas mengenai isu-isu sensitif bagi memelihara keharmonian dan kedamaian yang telah negara capai melalui persefahaman yang dibina sejak 62 tahun yang lalu.

Comment