Tawau nombor satu, jenayah Penyeludupan di Sabah
17:08 Aug 28, 2019  |  By SabahKini2
Tawau nombor satu, jenayah Penyeludupan di Sabah

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, perkara itu berdasarkan faktor kedudukan geografi Tawau, yang terletak bersempadan dengan Indonesia.

TAWAU- Daerah Tawau tersenarai di tangga pertama kes penyeludupan tertinggi di Sabah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, perkara itu berdasarkan faktor kedudukan geografi Tawau, yang terletak bersempadan dengan Indonesia.

“Selain permintaan tinggi (barang subsidi) dari Indonesia, sempadan terlalu dekat dan aktiviti penyeludupan boleh melalui laut atau setanah iaitu dengan Pulau Sebatik, Malaysia (dikenalpasti) menjadi transit kepada aktiviti penyeludupan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sempadan Tawau-Indonesia bersama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, faktor permintaan tinggi serta sempadan yang dekat memberi cabaran besar kepada pasukan keselamatan menangani penyeludupan.

PPM mengesan terdapat lebih 10 lorong tikus di darat digunakan untuk aktiviti penyeludupan selain empat laluan seludup di sungai.

Setakat Januari hingga awal Ogos ini, terdapat 70 kes tangkapan direkodkan PPM dengan nilai rampasan kira-kira RM17 juta berbanding tempoh sama tahun lepas mencatatkan 15 kes serta RM5 juta rampasan. Peningkatan ketara tangkapan itu hasil kerjasama antara PPM dan KPDNHEP.

“Bekalan tong gas memasak antara banyak yang seludup bukan setakat di Tawau tapi seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu dan Kudat,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan KPDNHEP, Aris Mamat berkata tinjauan bersama PPM Sabah pada hari ini ke Sungai Melayu, sebagai persediaan bagi mesyuarat duahala antara PPM bersama KPDNHEP pada 6 hingga 8 Sept, bagi meneruskan kerjasama erat dalam membanteras ketirisan di laut barangan subsidi Malaysia ke negara jiran.

“Kita tidak ada aset di laut, jadi kita minta tolong PPM, selain itu kita meminta bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membanteras ketirisan di laut.

“Bagi di darat, kita sendiri melakukan pemantauan di seluruh Malaysia dan terdapat banyak kejayaan direkodkan termasuk rampasan serta menggagalkan penyelewengan cecair tong gas memasak bersubsidi,” katanya lagi.

BERNAMA

Comment