Polis siasat insiden tertembak anak AR Badul, TDM tubuh Lembaga Siasatan
10:09 Sep 05, 2019  |  By SabahKini2
Polis siasat insiden tertembak anak AR Badul, TDM tubuh Lembaga Siasatan

Insiden tembakan anak AR Badul kini melalui episod baru iaitu siasatan polis dan penubuhan Lembaga Siasatan oleh TDM.Apa sebenarnya berlaku sebab kecuaian atau unsur lain.

KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden tertembak ketika membuat aksi gimik sempena Pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, di sini pagi semalam sehingga menyebabkan kematian Mejar Mohd Zahir Armaya.

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim dalam kenyataan berkata, polis menyiasat seorang anggota tentera berhubung insiden berkenaan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Pada jam lebih kurang 10.05 pagi, polis Penampang menerima satu laporan bahawa seorang tentera tertembak rakannya sendiri semasa acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

“Siasatan awal mendapati, pada jam lebih kurang 8.25 pagi, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar meninggal dunia semasa melakukan acara berkenaan,” katanya.

Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Haris berkata, ketika kejadian mangsa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan 5 meter menggunakan senjata api semasa acara itu.

Sementera itu, Mohd Haris ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis akan merampas senjata dalam insiden berkenaan.

Berikutan insiden berkenaan, Mohd Zahir yang juga seorang pegawai tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas kemudianya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini (HQE).


TDM tubuh Lembaga siasatan

Sementara itu Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi yang menimpa pegawai 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya itu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat ketika mengesahkan kejadian itu, berkata latihan demonstrasi keupayaan berkenaan sudah dilaksanakan bermula 26 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, ketika pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa berkenaan.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara ini serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada TDM,” katanya dalam satu kenyataan semalam

Kenyataan itu turut berkata, Ahmad Hasbullah juga menyifatkan Allahyarham meninggal dunia ketika bertugas dan besar pahalanya.

“TDM sangat menyayangi Allahyarham namun Allah lebih menyayangi beliau. TDM sudah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan waris,” katanya.

Allahyarham adalah anak kepada pengarah dan pelakon AR Badul atau Armaya.

Comment