Hap Seng Bina Lebih 3,000 Rumah Mampu Milik Di Sabah
12:09 Sep 06, 2019  |  By SabahKini2
Hap Seng Bina Lebih 3,000 Rumah Mampu Milik Di Sabah

Hap Seng telah membina lebih daripada 3,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat terutama mewujudkan komuniti baharu di Tawau.

TAWAU: Kerajaan negeri Sabah memuji Hap Seng Properties Development Sdn Bhd kerana menyokong penuh usaha membina rumah mampu milik di negeri ini sejajar dengan matlamat kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sehingga kini, Hap Seng telah membina lebih daripada 3,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat terutama mewujudkan komuniti baharu di Tawau.

“Ini terdiri daripada rumah teres dua tingkat dan apartmen bertingkat rendah yang masing-masing dijual di bawah RM300,000 dan RM200,000,” katanya pada majlis penyampaian Hakmilik Strata kepada Kompleks Fajar Tawau di sini, hari ini.

Teks ucapan Mohd Shafie dibacakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.

Selain itu, Mohd Shafie berkata, Hap Seng sememangnya membantu untuk mereka bentuk dan membentuk semula landskap perumahan di negeri ini dengan infrastruktur yang dirancang dengan baik, kemudahan moden, persekitaran yang selesa dan bahkan merancang untuk masa depan.

“Ini bukan hanya pandangan peribadi saya, malah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah telah mengiktiraf kecemerlangannya dengan menyampaikan Anugerah Perbandaran Terbaik kepada Bandar Sri Indah pada 2018,” katanya.

Dalam pada itu, beliau secara peribadi berharap bahawa Hap Seng akan terus menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di negeri ini.

Mohd Shafie berkata dengan pembangunan Kompleks Fajar oleh Kumpulan Hap Seng, ia membuka lebih banyak pelyuang perniagaan di Bandar Tawau.

Pembangunan pertama Kompleks Fajar bermula pada 980-an dan pembangunan akhir pada 2001.

BERNAMA

Comment