PSS: DAP Sabah setuju, Amanah mahu PTI lama, ‘anak tanpa negara’ diberi PSS
01:09 Sep 09, 2019  |  By SabahKini2
PSS: DAP Sabah setuju, Amanah mahu PTI lama, ‘anak tanpa negara’ diberi PSS

DAP menganggap inisiatif mendaftarkan 600 ribu PTI Sabah untuk bersihkan daftar pengundi. Parti Amanah pula mahu PTI yang lama serta 'anak-anak tanpa negara' diberi PSS. Netizen pula kata bakal menambah lagi populasi PTI

KOTA KINABALU- DAP Sabah menganggap inisiatif kerajaan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci, dan Kad Burung-Burung sebagai langkah permulaan  secara tidak langsung membantu membersihkan daftar pemilih di negeri ini, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Beliau berkata ia juga adalah satu langkah bijak diambil kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dalam usaha memastikan isu lambakan warga asing di negeri ini, diuruskan secara sistematik sekali gus pendekatan proaktif mengenal pasti status warga asing sah ataupun tidak.

“Ini adalah langkah bijak dan titik permulaan untuk kita melihat isu ini, memandangkan sistem pendaftaran pemilih akan dilakukan secara automatik. Amatlah penting sekarang untuk membersihkan daftar pemilih, macam mana nak membersihkan daftar pemilih, ia perlu bermula bagaimana menyusun atur PTI (pendatang tanpa izin) dengan betul bagi mengetahui jumlah (PTI) yang tepat.

“Inisiatif PSS ini bagus. Kita kena lihat semula, siapa PTI siapa bukan, siapa buruh asing sah dan tidak sah. Selepas itu, baru dapat ditentukan langkah seterusnya, sama ada menghantar pulang (PTI) atau bagaimana mereka boleh sah bekerja di sini tanpa mengkompromi hak rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Merdeka @ Komuniti Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah untuk mengeluarkan PSS mulai 1 Jun 2020.

PSS dikeluarkan bagi meningkatkan penguatkuasaan sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat serta diseragamkan dan ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Amanah mahu warga asing lama diberi PSS

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Haris Alimudin dalam kenyataan berkata keputusan mengeluarkan PSS juga akan dapat membantu kerajaan menamatkan masalah pemalsuan dokumen yang membelenggu Sabah sejak sekian lama.

Haris berkata Amanah Sabah berharap pemberian PSS dipantau rapi bagi memastikan hanya warga asing sudah lama berada di Sabah sahaja layak memperolehi pas itu selain setiap pemegang PSS perlu diberikan syarat ketat, termasuk membatalkan kelayakannya jika tidak mematuhi undang-undang negara.

“Pemberian PSS adalah pilihan terbaik menyelesaikan masalah ‘tanpa negara’ yang selama ini tidak dapat didokumentasikan kehadiran mereka.

“Kepentingan dan hak rakyat Sabah perlu diutamakan dan PSS mesti dilihat sebagai penyelesaian sementara, dan kerajaan hendaklah memperkenalkan polisi yang mampu menamatkan masalah PTI yang menjadi masalah utama di Sabah,” katanya.

PSS dijangka mendaftarkan 600 ribu PTI pemegang ‘tiga dokumen’ yang antara lain akan memberi keistimewaan kepada mereka tinggal di negeri ini sebagai ‘warganegara kedua’ ia termasuk kanak-kanak ‘tanpa negara’ yang lahir hasil perkahwinan dengan warga asing.

[ARTIKEL BERKAITAN- 600 ribu PTI pemegang ‘tiga dokumen’ bakal diberi Pas Sementara Sabah (PSS) ]

600 ribu PTI pemegang ‘tiga dokumen’ bakal diberi Pas Sementara Sabah (PSS)Cadangan Presiden Warisan 'Mesra PTI' diluluskan Kerajaan Pusat

 

Bantahan Netizen

Menurut netizen pemberian dokumen ini tidak akan menyelesaikan lambakan warga asing malah akan menambahkan lagi populasi warga asing di negeri Sabah secara mendadak.

“600,000 yang datang beranak pinak di Sabah dan jumlah mereka akan berlipat ganda dan akhirnya mereka menguasai Sabah.

“Kenapa Warisan terlalu prihatin kepada mereka? Hantarlah mereka balik tempat negara asal mereka, kerajaan terlalu membuang masaa untuk urus hal-hal PTI yang sepatutya digunakan untuk memikirkan pelan pembangunan menaiktaraf orang-orang Sabah.”kata Joseph M Kuyong dalam facebooknya.

4 Comments