Keputusan muktamad, tiada ‘U-turn’ tamat lesen slot mesin judi -Shafie
19:09 Sep 21, 2019  |  By SabahKini2
Keputusan muktamad, tiada ‘U-turn’ tamat lesen slot mesin judi -Shafie

“Saya tahu mereka sudah kaut untung sebelum ini tiada persoalan tentang 20,000 (hilang kerja) atau buat perlahan-lahan, berapa tahun sudah perjudian di Sabah dan sekarang mahu beritahu saya tindakan mesti berperingkat.

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan menamatkan pengeluaran lesen perjudian slot mesin adalah muktamad, tiada apa-apa alasan atau rundingan akan diterima yang boleh membuatkan kerajaan menarik balik langkah itu.

Demikian jawpan tegas, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal kepada pihak-pihak yang mendakwa menanggung kerugian disebabkan penutupan pusat-pusat judi yang ada sekarang dan berharap agar langkah itu dilaksanakan secara berperingkat.

Kata Ketua Menteri, golongan tersebut telah mengaut kekayaan selama bertahun-tahun di sebalik penderitaan orang lain, justeru penyakit sosial dalam masyarakat itu perlu dihentikan terus.

“Kenapa perlu kurangkan sahaja? Saya telah batalkan terus. Lesen dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi saya sudah melihat ini sahaja satu-satunya cara, kita telah membuat penilaian bukan sehari dua atau sebulan dua tetapi perjudian sudah wujud selama bertahun-tahun perjudian tidak baik untuk masyarakat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal disambut ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk merasmikan Cuti-Cuti Malaysia – ‘Pakej Percutian Terbaik Sabah 2019/2020  pada Khamis.

“Saya tahu mereka sudah kaut untung sebelum ini tiada persoalan tentang 20,000 (hilang kerja) atau buat perlahan-lahan, berapa tahun sudah perjudian di Sabah dan sekarang mahu beritahu saya tindakan mesti berperingkat.

“Ini penyakit sosial kerana menyebabkan bercerai-berai, judi boleh menyebabkan penceraian orang yang sepatutnya menjaga keluarga mereka mesti bawa balik duit untuk belanja rumah dan anak-anak, bukan mesin slot,” kata Shafie dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak terutama pengusaha pusat perjudian mesin slot yang kecewa dengan langkah kerajaan menamatkan pengeluaran lesen kepada mereka.

Tegas Shafie, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan mutlak dan perkara tersebut telah dibentangkan di Kabinet negeri serta telah diputuskan, maka semua pihak perlu menerimanya tanpa ada kelonggaran.

Menurut Ketua Menteri, selain agama Islam, agama-agama lain seperti Kristian juga tidak menggalakan perjudian, justeru tiada alasan untuk memberikan sebarang kelonggaran sebaliknya apa yang dilarang perlu dihentikan serta-merta.

“Saya sebagai pemimpin kerajaan negeri dan juga sebagai manusia biasa perlu bertanggungjawab, saya tidak boleh biarkan seseorang buat duit hasil penderitaan orang lain, ini bukanlah nilai yang perlu kita tanam dalam masyarakat sama ada mereka suka atau tidak saya percaya inilah langkah yang paling tepat.

“Bukan sahaja Islam, dalam al-Quran ada dinyatakan dan saya yakin begitu juga agama Kristian, saya tidak rasa mereka galakkan atau kata ambil langkah berperingkat, sekali perkara itu dilarang, maka jangan lagi lakukan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun timbul beberapa isu mengatakan kemungkinan wujud pusat perjudian haram termasuk melalui internet, namun ia tidak akan menghalang kerajaan menghapuskan aktiviti perjudian kerana selagi perkara itu boleh dikawal, maka langkah tegas mesti dibuat.- BT

 

4 Comments