Sumber emas CNMC Projek Sokor di Kelantan di paras tertinggi
04:09 Sep 23, 2019  |  By SabahKini2
Sumber emas CNMC Projek Sokor di Kelantan di paras tertinggi

Projek Sokor di Kelantan yang dimiliki CNMC Goldmine Holdings Ltd dari Singapura mempunyai anggaran emas bawah tanah sebanyak 914,000 auns pada 31 Disember 2018, demikian menurut satu kajian oleh firma perundingan perlombongan berpangkalan di Australia, O

Benarkah Kelantan banyak emas? Jika tidak banyak emas mana mungkin syarikat Singapura sanggup melabur dalam sektor perlombongan emas itu di Kelantan.

Satu darinya Projek Sokor di Kelantan yang dimiliki CNMC Goldmine Holdings Ltd dari Singapura mempunyai anggaran emas bawah tanah sebanyak 914,000 auns pada 31 Disember 2018, demikian menurut satu kajian oleh firma perundingan perlombongan berpangkalan di Australia, Optiro Pty Ltd.

Menurut kajian itu, ini adalah anggaran tertinggi yang direkodkan sejak CNMC memulakan penerokaan pada 2007 di tapak berkeluasan 10 kilometer persegi itu dan ia mencerminkan peningkatan berbanding daripada jangkaan sebanyak 724,000 auns emas pada 31 Disember 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif CNMC, Chris Lim, dalam satu kenyataan sebelum ini berkata penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan syarikat bahawa Sokor akan kekal menjadi projek berdaya maju.

"Pada 2018, rekod sejumlah 31,473 auns emas dihasilkan dan ia mencerminkan gandaan daripada 14,817 emas asli yang dikeluarkan pada 2017. Inilah sebabnya mengapa kami merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran emas serta pembinaan infrastruktur baharu seperti talian grid kuasa nasional yang berkeupayaan.

"Pelaburan ini akan memacu pertumbuhan pengeluaran termasuk usaha pengurangan kos kami dalam tahun-tahun yang akan datang," katanya.

CNMC yang memetik laporan Optiro setebal 73 halaman menjelaskan terdapat potensi baki yang besar dalam lesen perlombongan Blok Sokor untuk mencari emas tambahan serta pemineralan logam dan ia juga menampilkan kewujudan sejumlah sumber perak, plumbum dan zink sehingga pada 31 Disember 2018.

"Kumpulan merancang untuk membina sebuah loji pengapungan bagi mencairkan sumber-sumber logam ini," katanya.

Sumber mineral di Sokor dilaporkan mengikut garis panduan menurut Kod Australasian bagi Pelaporan Hasil Carigali, Sumber-Sumber Galian dan Simpanan Timah.

Kumpulan perlombongan dari Singapura itu, memulakan operasi pada 2006 serta terbabit terutamanya dalam penerokaan dan perlombongan emas termasuk pemprosesan perlombongan bijih ke dalam jongkong emas.

CMNC sedang menumpukan usaha kepada membangunkan projek Medan Emas Sokor dan mengenal pasti lima kawasan deposit emas iaitu di Manson’s Lode, New Discovery, New Found, Sg Ketubong dan Rixen.

Projek itu mencapai tuangan emas pertama pada 21 Julai 2010.

Kumpulan itu juga memiliki 51 peratus kepentingan dalam CNMC Pulai Mining Sdn Bhd, yang diberi tauliah bagi melombong emas, bijih besi dan feldspar di tapak bekas lombong seluas 38.4 kaki persegi di Kelantan.

 

CNMC Pulai Mining mempunyai 11 lesen cari gali dan perlombongan.

CMNC juga memiliki KelGold Mining Sdn Bhd, yang mempunyai hak untuk membuat penerokaan mencari emas, bijih besi dan mineral lain di Kelantan.

 

Comment