(VIDEO) Kebajikan Rakyat Yang Tersasar, Ini Bukan Bajet Yang Dimahukan- Zahid
04:10 Oct 17, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Kebajikan Rakyat Yang Tersasar, Ini Bukan Bajet Yang Dimahukan- Zahid

Setiap kali belanjawan, apa yang dinanti rakyat adalah inisiatif untuk golongan miskin atau B40 tetapi belanjawan tahun ini langsung tidak mementingkan mereka- Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lalu banyak mengundang ketidakpuashatian ramai pihak.

Belanjawan 2020 kali ini disifatkan sebagai tidak adil terutamanya berhubung isu keuntungan dan royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak. Memetik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak apabila isu bayaran royalti langsung tidak disentuh pada pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu.

Menurut Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok, sedangkan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mereka berjanji untuk meningkatkan royalti minyak kepada negeri terlibat termasuk Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mempersoal Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengapa isu royalti minyak tidak dimasukkan di dalam Belanjawan 2020 itu.

“Adalah sesuatu yang tidak adil kepada negeri yang menjadi pengeluar minyak jika kerajaan hanya pandai mengambil hasil minyak tetapi gagal memberikan pulangan semula kepada negeri terbabit.

“Jika kerajaan perlu meminda Akta Pembangunan Petroleum atau PDA 1974 maka mereka perlulah melakukannya (pinda akta) kerana ianya telah dijanjikan (dalam manifesto).

“Saya amat bersimpati kepada negeri-negeri terlibat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Zahid ketika sesi perbahasan mewakili parti yang diterajuinya berkata bahawa kerajaan juga dilihat cuba memperbodohkan rakyat apabila belanjawan yang dibentangkan itu tidak sampai kepada golongan sasar terutamanya golongan B40.

“Setiap kali belanjawan, apa yang dinanti rakyat adalah inisiatif untuk golongan miskin atau B40 tetapi belanjawan tahun ini langsung tidak mementingkan mereka,” katanya

Comment