Wang De Qun Ahli Perniagaan China bayar RM400,000 beli MyKad, pasport Malaysia
18:10 Oct 31, 2019  |  By SabahKini2
Wang De Qun Ahli Perniagaan China bayar RM400,000 beli MyKad, pasport Malaysia

Wang De Qun, 58, atau dikenali sebagai Ewe Chor Beng dalam MyKad sanggup membayar hampir setengah juta untuk Mykad dan Passport.Dalangnya Datuk Lai Chin Wah!

GEORGETOWN: Saksi utama kes sindiket penjualan MyKad memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini hari ini bahawa beliau membayar hampir setengah juta bagi pembelian dokumen itu.

Wang De Qun, 58, atau dikenali sebagai Ewe Chor Beng dalam MyKad, berkata pada asalnya beliau hanya mahu memiliki pasport migrasi pelaburan bagi memudahkan urusan perniagaannya di negara ini.

De Qun yang berasal dari Shan Dong, China dan turut memiliki pasport negara Vanuatu, berkata beliau sering berulang-alik antara China dan Malaysia sejak 2017 untuk menguruskan beberapa projek membabitkan syarikat bahan binaan miliknya.

“Saya tidak tahu prosedur yang betul untuk mohon (pasport migrasi pelaburan). Kemudian, saya berjumpa seorang lelaki bernama Liw Ge di Thailand pada sekitar Jun dan Julai 2018 melalui seorang rakan.

“Liw Ge tahu niat saya dan dia bagitahu ada satu saluran untuk dapatkan pasport Malaysia yang sah, tetapi perlu bagi sedikit wang,” katanya pada prosiding deposisi yang dijalankan dalam Bahasa Mandarin, di sini hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, pihak pendakwaan memohon supaya De Qun memberi keterangan awal melalui prosiding deposisi berikutan lelaki warga China itu akan dihantar pulang ke negaranya pada 13 November ini.

De Qun ditahan pada awal Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini.

Dalam keterangannya, De Qun memberitahu, beliau bersetuju untuk membayar RM400,000 bagi memiliki pasport Malaysia, yang dibayar dalam mata wang Ringgit Malaysia, Yuen China, Dollar Hong Kong dan Dolar Amerika

Katanya, semua pembayaran itu diuruskan pengurus kewangan syarikatnya, di mana RM200,000 diberikan kepada Liw Ge, dan sebahagian lagi kepada tertuduh, Datuk Lai Chin Wah.

“Liw Ge kemudiannya memperkenalkan saya kepada Chin Wah, dan saya ke Pulau Pinang untuk bertemu dengannya antara September dan Oktober tahun lalu.

“Chin Wah membawa saya ke sebuah pejabat kerajaan (dikenal pasti sebagai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang) untuk menguruskan dokumen diri saya, yang turut dibantu rakan-rakan Chin Wah,” katanya.

Ketika ditanya Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karim, adakah beliau mengecam semua tertuduh terbabit, De Qun mengesahkannya, kecuali terhadap tertuduh, Mohd Faizal Tan Abdullah.

De Qun berkata, beliau terkejut apabila Chin Wah menyerahkannya sekeping kad yang dikenalpasti sebagai MyKad, pada Februari lalu.

Katanya, beliau tidak mengenali dan tidak tahu individu bernama Chor Beng seperti yang tertera di dalam kad pengenalan itu kerana tidak tahu membaca tulisan rumi.

“Saya dimaklumkan Chin Wah, kalau mahu buat pasport perlu ada kad ini dahulu. Saya tidak faham kegunaan kad ini, tetapi kerana ada gambar saya, saya terima penjelasan Chin Wah. Pada Mac lalu, Chin Wah menemani saya membuat pasport di Jabatan Imigresen Pulau Pinang,” katanya.

De Qun memaklumkan mahkamah bahawa Chin Wah turut membantunya memiliki lesen memandu yang diuruskan sepenuhnya oleh tertuduh.

Prosiding selama hampir tujuh jam itu dijalankan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, dan peguam pemerhati saksi, Hoon Wei Chong, dengan sesi soal balas bersama peguam tertuduh akan bersambung esok.

Pada 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri sah kepada warga asing.

Mereka ialah Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal, 66.

[ARTIKEL BERKAITAN- Faizul Pegawai JPN, Datuk Lai Chin Wah dan 4 lagi dalang ‘Cina Penang’ didakwa sindiket jual MyKad ]

Faizul Pegawai JPN, Datuk Lai Chin Wah dan 4 lagi dalang ‘Cina Penang’ didakwa sindiket jual MyKad

1 Comment