KDN buat laporan polis syarikat penipu MMC Sdn Bhd
15:11 Nov 03, 2019  |  By SabahKini2
KDN buat laporan polis syarikat penipu MMC Sdn Bhd

KDN menjelaskan pihaknya tidak pernah melantik pihak Mega Management Consultancy Sdn Bhd bagi menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) membuat laporan polis bagi menafikan kaitan kementerian itu dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad dokumentasi kepada warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh KDN, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing terutama PATI.

“Kegiatan ini semakin bergiat aktif sejak kebelakangan ini dan KDN turut menerima aduan daripada pihak majikan dan orang ramai yang keliru serta merasakan ditipu oleh ejen syarikat yang melakukan kegiatan mendaftar kad dokumentasi dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu namun, fungsi kad itu tidak seperti dijanjikan,” katanya hari ini.

Berikutan itu, KDN menjelaskan pihaknya tidak pernah melantik pihak Mega Management Consultancy Sdn Bhd bagi menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

Katanya, kad yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan tidak memberi sebarang keistimewaan kepada warga asing dan tidak sama sekali akan diguna pakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ada memperuntukkan kesalahan individu yang didapati melindungi PATI di Malaysia.

“Pesalah bagi perkara ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 bagi setiap PATI yang dilindungi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh dikenakan sebatan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang bentuk pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa membuat program bancian atau mendaftarkan kad dokumentasi kepada warga asing ini,” katanya.

Syarikat Mega Management Consultancy Sdn Bhd adalah syarikat yang sama dimiliki oleh Dato' Seri Saad Hj Ani SR Manpower Resources Sdn Bhd yang didakwa di mahkamah sebelum ini.

[ARTIKEL BERKAITAN- Dato' Seri 'Sulu' pro warisan aktif semula daftar PTI Sabah guna syarikat tipu SRM, MMC ]

Dato' Seri 'Sulu' pro warisan aktif semula daftar PTI Sabah guna syarikat tipu SRM, MMC

 

Comment