Rayuan Musa Aman ditolak akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan
17:11 Nov 28, 2019  |  By SabahKini2
Rayuan Musa Aman ditolak akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan

Alasan hujah akademik. Tengku Fuad berkata akan membawa kes ke Mahkamah Persekutuan.

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini, menolak rayuan saman bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Mahkamah turut memerintahkan Musa membayar RM50,000 kepada Mohd Shafie yang juga responden kedua manakala RM20,000 kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama.

Panel tiga hakim bersidang ialah Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mendengar prosiding berkenaan.

Kamardin ketika menyampaikan keputusan berkata, mahkamah menegaskan bantahan awal oleh peguam Mohd Shafie, Datuk Douglas Lind, adalah akademik dan setuju dengan hujahan pihak responden.

“Mahkamah mendapati bantahan awal oleh peguam Shafie adalah akademik dan dengan ini mahkamah menolak rayuan itu dengan kos,” katanya.

Musa diwakili pasukan peguam diketuai Tengku Fuad Tengku Ahmad dengan dibantu bekas peguam kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Anantham Kasinather.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin, mewakili Juhar.

Terdahulu, Douglas dalam hujahnya berkata keputusan rayuan itu tidak akan memberi kesan kepada kedudukan semasa kedua-dua pihak.

“Ia berdasarkan jumlah sokongan terhadap perayu dan responden di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Sekarang di DUN Sabah hanya ada lapan pembangkang manakala 52 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah penyokong kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Fuad berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan berkenaan dan akan membawa kes ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Juhar dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Musa) sebagai ketua menteri yang sah.

4 Comments