Kes denggi Putrajaya naik 70 peratus, kaji denda RM500 kepada syarikat binaan
09:12 Dec 02, 2019  |  By SabahKini2
Kes denggi Putrajaya naik 70 peratus, kaji denda RM500 kepada syarikat binaan

Peningkatan kes denggi seluruh negara sangat membimbangkan. Kementerian Kesihatan mengkaji semula denda RM500 ke atas syarikat pembinaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mungkin mempertimbangkan untuk mengkaji semula denda RM500 ke atas syarikat pembinaan, jika nyamuk Aedes ditemui di tapak projek mereka, susulan peningkatan 70% kes denggi tahun ini berbanding tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebanyak 118,416 kes dengan 164 kematian direkodkan.

Katanya, negara Asia lain seperti Singapura, Filipina, Kemboja, Vietnam, China, Taiwan dan Laos turut menyaksikan peningkatan kes denggi tahun ini.

“Peningkatan itu bukan di Malaysia saja, tetapi negara Asia lain juga,” katanya kepada Alice Lau (PH-Lanang) yang bertanya mengenai keadaan denggi di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, serta jumlah kematian yang dicatatkan.

Dengan membandingkan statistik sehingga 27 Nov lalu, Lee berkata, terdapat 69,849 kes denggi dengan 118 kematian tahun lalu dan peningkatan secara drastik turut berlaku di Sarawak dengan 2,310 kes dicatatkan tahun ini berbanding 600 tahun lalu.

Katanya, peningkatan kes denggi ada kaitan dengan tahap kebersihan, oleh itu rumah dan kawasan sekitar perlu sentiasa bersih serta kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kemudiannya bertanya jika Kementerian Kesihatan bercadang meminda undang-undang untuk menaikkan denda RM500 kerana mungkin terdapat takungan air di tapak pembinaan.

“Tiada kempen gotong-royong yang dapat menyelesaikan masalah itu.”

Lee berkata, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mungkin tidak mampu membayar denda sedia ada sebanyak RM500, tetapi kementeriannya akan mengkaji semula penalti bagi syarikat pembinaan dan kilang.

“Denda tidak dapat menyelesaikan semua masalah, tetapi kementerian akan mengkaji semula denda untuk syarikat pembinaan.”- FMT

ARTIKEL LAIN-

Dahsyat! 99,166 kes Denggi, Selangor 54,997 kes sehingga 24 September 2019

Sabah catat 4,423 kes denggi kelima tertinggi, ketiga tertinggi kes kematian dalam tempoh 10 bulan

4,629 kes denggi, Sabah kini 'ranking' keempat tertinggi di Malaysia 

 

 

 

 
Comment