Sabah dijangka turut alami air pasang besar
10:12 Dec 13, 2019  |  By SabahKini2
Sabah dijangka turut alami air pasang besar

Kemungkinan berlaku air pasang besar di kawasan Pantai Timur, Johor serta Sabah dan Sarawak, yang dijangka melanda pada 25 Disember ini.

JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku air pasang besar di kawasan Pantai Timur, Johor serta Sabah dan Sarawak, yang dijangka melanda pada 25 Disember ini.

Ketua Pesuruhjaya APM Malaysia Datuk Roslan Wahab berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), kawasan terbabit dijangka menerima hujan yang lebat antara 450-850 mililiter.

“Kita tidak tahu berapa tinggi air pasang tetapi ramalan itu oleh Met Malaysia. Kita akan tambah anggota seluruh negara untuk bersedia.

“Jadi saya berharap untuk negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang termasuk Johor serta Sabah dan Sarawak bersedia untuk menghadapi hari berkenaan,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Johor di sini, petang ini.

Yang turut hadir pada perhimpunan itu ialah Pengarah APM Negeri Johor, Kol (PA) Mat Zin Bujang.

Roslan berkata, APM di setiap negeri termasuk daerah mampu menggerakkan sehingga 7,400 anggota dalam masa dua jam bagi menghadapi bencana banjir. Roslan dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri ketika bencana banjir berlaku.

“Selain itu, sentiasa dengar laporan hujan setiap hari dan elak mengharungi arus deras banjir.

“Kerana saya lihat banyak perkongsian terutama dalam aplikasi Whatsapp apabila ada yang cuba redah arus tinggi hanya kerana mahu pulang ke rumah... bahaya... jadi sila ambil langkah keselamatan terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai banjir di Johor pula, Mat Zin berkata, 200 anggota bersiap siaga untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir setiap kali menerima laporan di negeri ini. – Bernama

 

 

Comment