IGP kecewa negara luar enggan kerjasama 'tangkap Jho Low'
05:12 Dec 23, 2019  |  By SabahKini2
IGP kecewa negara luar enggan kerjasama 'tangkap Jho Low'

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang berjanji untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Jho Low hujung tahun ini kecewa negara luar enggan kerjasama menangkap Jho Low

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang berjanji untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi Jho Low hari ini melahirkan rasa kecewanya kerana rakan sejawat di beberapa negara enggan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam hal ini.

Pada sidang akhbar hari ini, Abdul Hamid berkata negara tersebut malahan enggan mengakui bahawa Low berada di negara mereka walaupun polis Malaysia telah mengemukakan bukti.

"Saya ada beberapa hari, ada seminggu, usaha saya berterusan, saya tak pernah give up. Tetapi memang mengecewakan dalam kerja-kerja hubungan dua atau tiga hala, atau hubungan multilateral kita dengan kepolisan luar negara, kami harapkan nombor satu - sincerity, keikhlasan dalam kita kerjasama dengan pihak berkenaan, mesti ada keikhlasan.

"Tetapi ini tidak ada...Ini lah yang mengecewakan saya walaupun, saya telah tulis, jumpa dan saya dah seru beberapa kali," jelasnya

Beliau berkata, pada masa lalu Malaysia cukup bersedia menghulurkan kerjasama dengan negara-negara ini.

"(Bagaimanapun, negara-negara ini berkata) tiada di sini, tapi kami ada maklumat kata dia di sini, kami ada butiran, rekod dokumen perjalanan," katanya.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dilaporkan mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi yang menjadi buruan polis, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan empat individu lagi.

Jho Low, antaranya berdepan lima pendakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.

Interpol telah meletakkan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho dan Tan Kim Loong dalam senarai notis merah pasukan polis antarabangsa itu, sejak Oktober 2016 atas permintaan kerajaan Singapura.

Pada 8 Nov 2018, negara Saint Kitts and Nevis telah membatalkan pasport yang dikeluarkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Thaek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Pentadbiran negara di kepulauan Caribbean itu membuat keputusan tersebut pada Jun lalu, berikutan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia mahu menangkap Low yang terkait dengan skandal 1MDB.

Cyprus juga telah memulakan proses membatalkan kewarganegaraan Jho Low, yang memperoleh kerakyatan negara itu melalui program pelaburan, pada November lalu.

 

1 Comment