Dua MPKK, 173 Ahli Warisan Keluar Parti Sertai BN
01:01 Jan 08, 2020  |  By SabahKini2
Dua MPKK, 173 Ahli Warisan Keluar Parti Sertai BN

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mandangin Mohd Fadzly Abdul berkata, tindakan beliau melepaskan jawatan MPKK kerana ingin 'membuka mata' pimpinan tertinggi MPKK.

MEMBAKUT: Dua pemimpin masyarakat hari ini mengistiharkan meletakkan jawatan mereka kerana hilang kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri serta gagal menjaga kebajikan penduduk di bawah jagaan mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mandangin Mohd Fadzly Abdul berkata, tindakan beliau melepaskan jawatan MPKK dan menyokong Barisan Nasional (BN) adalah kerana ingin 'membuka mata' pimpinan tertinggi MPKK.

Turut  bersama Fadzly  173 orang ahli parti Warisan mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mawao.

Sambil menegaskan tindakan beliau itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, beliau memberitahu, pimpinan tertinggi MPKK dilihat seolah-olah mengabaikan segala permohanan rakyat sehingga penduduk mempersoalkan peranan beliau.

"Selama saya menjadi MPKK, saya bekerja tanpa mengharapkan elaun. Segala isu rakyat yang timbul sudah saya kemukakan kepada pihak atasan namun tiada sebarang tindakan sehinggalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis diadakan.

"Saya hilang keyakinan terhadap pihak atasan MPKK, seolah-olah kerajaan tidak serius menangani masalah rakyat di Membakut. Oleh itu saya lepaskan jawatan sebagai MPKK berkuatkuasa hari ini," kata Mohd Fadzly.

Sementara itu, MPKK Kampung Lambunau dan Kampung Layun, Norlizah Hassim turut mengikut jejak Mohd Fadzly melepaskan jawatan MPKK dan menyokong BN atas sebab yang sama.

Beliau hairan mengapa beberapa permohanan penduduk tidak mendapat sebarang jawapan walhal beliau sudah menyiapkan data-data (kertas permohanan) berkenaan dan diserahkan ke pihak atasan MPKK.

"Dalam mesyuarat di Pejabat Daerah baru-baru ini, saya pula yang dipersoalkan mengapa tiada permohonan penduduk sedangkan saya sudah menyerahkan dokumen itu kepada mereka.

"Saya hairan mengapa perkara ini berlaku, seolah-olah penduduk yang saya wakili dipermainkan. Oleh itu, saya mengisytiharkan melepaskan jawatan dan menyokong BN secara terbuka kerana lebih mempercayai mereka (BN) daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membela nasib rakyat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fadzly memberitahu, selepas ini lebih ramai MPKK yang akan melepaskan jawatan mereka dan menyertai BN namun enggan menyatakan MPKK mana atas beberapa sebab.

MPKK Kampung Baitam dan Kampung Lumantak juga turut melepaskan jawatan berkuatkuasa hari ini namun tidak dapat hadir bersama atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Fadzly dan Norlizah menyertai BN dihadapan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.
 

 
3 Comments