[VIDEO] PRK Kimanis: Saya tidak pernah lompat parti, saya berjuang untuk hak Sabah - Anifah
15:01 Jan 10, 2020  |  By SabahKini2
[VIDEO] PRK Kimanis: Saya tidak pernah lompat parti, saya berjuang untuk hak Sabah - Anifah

Anifah berkata dia tidak pernah melompat parti. Beliau keluar untuk bersuara lebih bebas. Namun kini menyokong BN untuk menolak Parti Warisan.

 

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendedahkan beliau mengambil keputusan keluar daripada UMNO pada 2018 untuk tidak menyakiti hati presiden parti.

Anifah berkata, beliau tidak mahu menyinggung Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika itu kerana kelantangannya menyuarakan hak Sabah.

Menurutnya, beliau tidak meninggalkan UMNO untuk menyertai parti lain, sebaliknya mahu menjadi pemimpin bebas supaya boleh menyuarakan hak rakyat Sabah tanpa perlu bimbang menyakiti hati sesiapa.

“Tentu kamu mahu tahu kenapa saya keluar UMNO, tapi saya bukan ikut parti lain. UMNO yang pertama bagi saya dan cinta saya kepada parti itu masih dalam.

“Saya keluar menjadi bebas untuk menjaga hati presiden kerana saya bimbang terlebih batas apabila menuntut hak Sabah hingga menyakitkan hati presiden.

“Sekarang, sayalah presiden dan timbalan presiden, jadi saya bebas bercakap,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu membuat pendedahan itu ketika menyertai Ahmad Zahid dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada ceramah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Kimanis, malam tadi.

Yang turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Di pentas sama, Anifah turut mengakui beliau dihubungi Ahmad Zahid yang menawarkannya untuk bertanding PRK Kimanis tetapi menolaknya kerana kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan mahkamah serta perbuatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dibatalkan.

Namun, Katanya, beliau menyatakan sokongan kepada BN sejajar janjinya kepada rakyat Kimanis untuk terus bersama mereka walau apapun yang terjadi.

“Saya cakap sokong BN tetapi ia bersyarat iaitu apa saja yang dituntut menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), saya minta UMNO dan BN menyokong dan dia kata insya-Allah, jadi tiada sebab saya tidak mahu bersama mereka seperti malam ini,” katanya.

Anifah berkata, beliau juga tidak terfikir untuk ‘melompat’ ke parti lain, sebaliknya terus mengekalkan hubungan baik dengan pemimpin UMNO dan BN walaupun dirinya berstatus bebas.

Sementara itu, Mohamad yang mengakui menjadikan Anifah sebagai mentornya berjanji untuk meneruskan perjuangan beliau bagi memperjuangkan hak rakyat Kimanis dan negeri ini.

“Jika saya diberikan mandat dan ditakdirkan menang, saya akan teruskan apa yang diperjuangkan Anifah iaitu memperjuangkan hak rakyat Kimanis dan Sabah,” katanya.

2 Comments