Kerjasama Parti Politik baru wajar disokong demi kebaikan rakyat- Anifah
18:02 Feb 06, 2020  |  By SabahKini2
Kerjasama Parti Politik baru wajar disokong demi kebaikan rakyat- Anifah

Tidak ada salahnya menyokong pembentukan kerjasama politik baru ini sekiranya kelebihan kepada rakyat untuk berbuat sedemian. Apa yang penting adalah para pemimpin politik harus menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti

Baru-baru ini terdapat desas-desus usaha pembentukan kerjasama parti politik baru yang dikatakan bakal melibatkan beberapa parti dalam Kerajaan dan beberapa parti dari pihak pembangkang. Secara tidak langsung, sekiranya kerjasama tersebut benar-benar termeterai maka ianya boleh menamatkan gabungan Pakatan Harapan sekaligus menukar Kerajaan yang sedia ada.

Tidak ada salahnya menyokong pembentukan kerjasama politik baru ini sekiranya kelebihan kepada rakyat untuk berbuat sedemian. Apa yang penting adalah para pemimpin politik harus menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Sekiranya Kerajaan pada hari ini tidak mampu memberikan prestasi yang diharapkan oleh rakyat maka sewajarnya kerjasama baru dan Kerajaan baru yang lebih cekap dan berwibawa dibentuk dengan segera.

Namun begitu kita tidak seharusnya membuat keputusan dengan terburu-buru dan terdapat beberapa faktor yang harus dipertimbangkan sebelum menyokong atau tidak pembentukan kerjasama politik baru ini.

Setiap pemimpin seharusnya mendahulukan kemahuan rakyat terutama para pemimpin di Sabah. Jangan sampai rakyat Sabah sekali lagi dipermainkan dengan janji-janji manis. Sebelum sokongan diberi, para pemimpin dari Sabah perlu mengambil kira dan hanya menyokong  sekiranya perkara berikut dilaksanakan dengan serta merta:

  • Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa memberikan sebarang alasan lagi mahupun membentuk jawatankuasa-jawatankuasa lagi dengan alasan ingin mengkaji semula sedangkan kita telahpun membuat kajian bahkan cadangan telah diberi sehingga ke peringkat Kabinet bagi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dengan serta merta.
  • Royalti Minyak diberikan segera kepada Sabah seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.
  • Masalah Pendatang Tanpa Izin di Sabah diberikan tindakan serta jalan penyelesaian yang serius dan sewajarnya tanpa melengahkan masa lagi.

Sekiranya semua perkara yang disebutkan dilaksanakan maka sudah tentu tidak ada sebab mengapa pembentukan kerjasama politik yang baru ini ditolak. Namun hanya jika perkara yang dinyatakan dilaksanakan. Jangan hanya janji manis diberi dan hanya mencari sokongan pemimpin-pemimpin dari Sabah bila perlu sahaja tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. 


Kenyataan Media 

Dato’ Sri Anifah Haji Aman
6 Februari 2020

2 Comments