GPS sokong Dr Mahathir PM
17:02 Feb 25, 2020  |  By SabahKini2
GPS sokong Dr Mahathir PM

Pendirian GPS adalah menyokong sepenuhnya Dr Mahathir untuk terus menerajui kepemimpinan negara

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 ahli Parlimen, menyokong Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, kata setiausaha agungnya Alexander Nanta Linggi.

Sokongan terhadap Dr Mahathir dikemukakan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Dr Mahathir pada Ahad.

“Pendirian GPS adalah menyokong sepenuhnya Dr Mahathir untuk terus menerajui kepemimpinan negara,” kata Linggi, yang juga ahli Parlimen Kapit.

Tambah beliau, Majlis Kepemimpinan Tertinggi GPS dan kesemua ahli Parlimen GPS sebulat suara memberi mandat kepada Abang Johari menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Kesemuanya adalah bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menarik diri selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Abang Johari dilihat tiba di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebelum 4 petang tadi.

Dr Mahathir hari ini memulakan tugasnya selaku perdana menteri interim.

Di Istana Negara, antara ahli-ahli Parlimen GPS yang kelihatan tiba kira-kira jam 3.25 hingga 3.30 petang tadi adalah Nancy Shukry (Batang Sadong), Fadillah Yusof (Petra Jaya) dan Wan Junaidi Tank Jaafar (Santubong)

Comment