Jokowi, Hsien Loong ucap tahniah kepada Muhyiddin
03:03 Mar 02, 2020  |  By SabahKini2
Jokowi, Hsien Loong ucap tahniah kepada Muhyiddin

Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin

JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut mendoakan pelaksanaan tugas yang beramanah dan sukses, serta hubungan baik kedua- dua negara terus diberkati Tuhan.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ucapan tahniah Jokowi itu disampaikan jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rachman, menerusi akaun twitter @fadjroel, hari ini.

“Presiden @jokowi mengucapkan selamat atas dilantiknya Perdana Menteri Malaysia @MuhyiddinYassin Insya Allah amanah & sukses. Semoga hubungan baik kedua negara serumpun Indonesia-Malaysia selalu diberkahiNYA ~ FR #Jubir #BungJubir @JubirPresidenRI @malaysiakini @bernamadotcom,” tweet Fadjroel.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada 10.33 pagi.

Sementara itu,  Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

“Telah bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengucapkan tahniah kepada beliau,” ciapnya di Twitter.

“Saya yakin hubungan yang telah lama wujud dan kepelbagaian antara Singapura dan Malaysia akan terus berkembang di bawah kepimpinannya dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Presiden Bersatu itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.- BERNAMA

3 Comments