Perikatan Nasional Sasar Rampas 5 Negeri
17:03 Mar 03, 2020  |  By SabahKini2
Perikatan Nasional Sasar Rampas 5 Negeri

Selepas Johor dan Melaka. Berdasarkan komposisi bilangan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, Kedah dan Sabah yang hanya mempunyai perbezaan tipis

SHAH ALAM - Selepas tumbangnya Pakatan Harapan (PH) di Johor dan Melaka, Perikatan Nasional dijangka menyasarkan untuk merampas tiga lagi negeri iaitu Perak, Kedah dan Sabah.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, ia berdasarkan komposisi bilangan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, Kedah dan Sabah yang hanya mempunyai perbezaan tipis dan memihak kepada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.

“Saya melihat memang ada keperluan untuk Perikatan Nasional membentuk kerajaan di negeri-negeri terbabit.


Rajah: Sinar Harian

“Tidak ada masalah untuk Perikatan Nasional menguasai Sabah kerana dijangkakan majoriti ADUN Sabah juga akan memihak kepada kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional yang baharu dibentuk sekarang. Begitu juga dengan keadaan di Perak dan Kedah,” katanya kepada Sinar Harian.

Perikatan Nasional kini menguasai kerajaan Pusat selepas runtuhnya kerajaan PH pada 23 Februari lalu apabila Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas bergabung serta memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga beliau akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan kelmarin.

Istana Johor pada Khamis lalu mengisytiharkan UMNO dan Bersatu membentuk kerajaan negeri baharu dengan wujudnya gabungan baharu parti berkenaan apabila memperoleh bilangan majoriti mudah.

Pengumuman itu dibuat Istana Johor selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati gabungan UMNO dan Bersatu yang mempunyai majoriti cukup dengan 28 ADUN memilih gabungan baharu berbanding 26 memilih PH.

Semalam, Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan kerajaan PH Melaka tumbang apabila BN membentuk kerajaan negeri yang baharu menerusi gabungan bersama Bersatu.

Ab Rauf turut mengesahkan penyertaan ADUN Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gabungan Perikatan Nasional itu.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN BN diangkat jadi MB Johor

Kerajaan Pakatan Harapan Melaka tumbang

Sokong Perikatan Nasional, Norhizam mengaku jadi barua

Sementara itu, Md Shukri berkata, di Johor, kerajaan negeri sedia ada hilang majoriti kerana Bersatu yang menjadi parti komponen PH sudah tidak memihak kepada PH, begitu juga di Melaka.

“Banyak negeri PH hilang majoriti apabila Bersatu memindahkan kepercayaan mereka bukan lagi kepada PH dan perkara sama juga akan berlaku di Kedah, Perak dan Sabah,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk meredakan keadaan politik yang masih panas sekarang, peralihan kuasa di peringkat negeri perlu mengekalkan beberapa pimpinan Bersatu seperti di Kedah dan Perak.

“Ada pandangan menyatakan bahawa kumpulan majoriti harus mendapat kepercayaan untuk mengisi jawatan menteri besar dan barisan Exco di peringkat negeri.

“Kalau kumpulan majoriti dapat kepercayaan sudah tentulah parti yang pada asalnya mentadbir negeri dan bila mereka berpindah ke Perikatan Nasional, maka mereka ini seolah-olah hilang mandat dan hilang kedudukan.

“Jadi dalam konteks ini, mesti ada dasar-dasar yang mereka ingin teruskan dan sebagainya. Justeru untuk di Perak, saya fikir Perak itu masih memerlukan sokongan daripada menteri besar sedia ada kerana perbezaan kerusi mereka sangat tipis,” katanya.Berikutan itu, Md Shukri berkata, pengekalan kerusi Menteri Besar Perak dan Kedah wajar dibuat kerana kedua-duanya daripada Bersatu, yang mengalihkan kesetiaan mereka daripada PH kepada Perikatan Nasional.- Sinar Harian

 

3 Comments