Saksi akui SPRM puas hati hasil siasatan derma RM2.3 bilion
17:03 Mar 04, 2020  |  By SabahKini2
Saksi akui SPRM puas hati hasil siasatan derma RM2.3 bilion

Fikri Ab Rahim bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM di mahkamah mengaku berpuas hati dengan siasatan derma RM2.3b dari Putera Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah masuk hari ke-87 menjadi semakin ‘menarik’.

Pada hari ini seorang lagi saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asisten Komisioner Fikri Ab Rahim memberitahu mahkamah bahawa pasukan beliau sangat ‘berpuas hati’ dengan hasil siasatan mereka di Riyadh yang membabitkan Putera Arab Saudi, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz Al-Saud.

Keterangan pegawai SPRM itu dilihat mengesahkan ketulenan empat dokumen yang dikatakan surat sumbangan derma daripada Arab Saudi kepada Najib.

Walaupun Putera Saud mempunyai ‘kekebalan’ dan agak sukar untuk didekati namun siasatan itu tetap dapat dilakukan melalui peguam mereka, Mohammad Abdullah al- Koman.

Al-Koman juga telah menandatangani surat pengesahan berhubung keterangan itu.

Fikri turut mendedahkan Putera Saud telah menunjukkan pasportnya yang mengandungi butiran peribadi kepada pasukan SPRM pada November 2015 di istana di Riyadh, Arab Saudi.

Selain daripada Putera Saud, yang hadir sama pada sesi rakaman untuk siasatan itu adalah Putera Faisal serta Putera Turki.

Fikri yang merupakan saksi ke-10 berkata, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut berpuas hati ketika selesai sesi rakaman siasatan tersebut.

Fikri berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Shafee: Saya hendak tanya kamu, selepas sesi siasatan dengan Putera Saud di Riyadh, adakah pasukan SPRM berpuas hati dengan hasilnya?

Fikri: Kami tidak terima apa-apa arahan lanjut selepas itu, jadi pada tanggapan semuanya berpuas hati termasuk Datuk Azam Baki kerana tiada apa-apa arahan selepas itu. Selalu kebiasaanya, ada arahan lanjut jika ada apa-apa.

Shafee: Semua puas hati begitu? Termasuk Datuk Azam Baki?

Fikri: Ya. Benar

Shafee: Bagaimana kamu tahu yang itu adalah Putera Saud? Adakah puas hati dengan identitinya?

Fikri: Pasportnya telah diberikan kepada Datuk Azam untuk disemak. Ada gambar Putera Saud di situ. Orang sama duduk dalam istana, memang berpuas hati dengan identitinya. Tidak ada masalah atau keraguan.

Pada Khamis lalu, saksi kesembilam pembelaan, Pegawai Penyiasat, Asisten Komisioner Mohd Nasharuddin Amir mendedahkan terdapat pengesahan daripada Putera Arab tentang derma berjumlah RM2.3 bilion kepada Najib.

[ARTIKEL BERKAITAN- SAKSI SPRM SAHKAN DERMA RM2.6 BILION KELUARGA RAJA ARAB KEPADA NAJIB

Dalam pada itu, Fikri memberitahu, Putera Saud fasih berbahasa Inggeris dan beliau telah memperkenalkan dirinya sendiri ketika pasukan SPRM berada di Riyadh.

Selain daripada itu, pasukan SPRM turut dibawa mengerjakan umrah dengan menaiki jet peribadi milik kerajaan Arab Saudi sebelum sesi rakaman itu kerana ia merupakan cara negara itu mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Kata Fikri, mereka juga telah dipindahkan ke sebuah hotel yang dikawal tentera kerajaan bagi memastikan keselamatan masing-masing terjamin.

Perbicaraan bersambung petang esok dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya akan memberi keterangan berkaitan rakaman audio yang dikaitkan dengan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. yang didedahkannya pada awal Januari lalu.

Mahkamah memerintah Najib membela diri daripada tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta yang membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan. – MalaysiaGazette

 

2 Comments