17400 Bungkus Rokok Seludup Bernilai RM90000 Dirampas
18:12 Dec 23, 2017  |  By SabahKini2
17400 Bungkus Rokok Seludup Bernilai RM90000 Dirampas

"Van penyeludup terbabas. Barang ditemui 25 kotak mengandungi 7,800 bungkus rokok jenama Apache (RM46,800) serta 9,600 bungkus rokok A Satu (RM43,200)

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 17,400 bungkus rokok seludup pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM90,000 di kawasan Batu 3 Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, sepasukan lima anggota PPM Tawau diketuai Inspektor Mohd Sofian Ag Damit membuat pemantauan di kawasan berkenaan sebelum mengesan sebuah van putih dalam keadaan mencurigakan.

 Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazid Abd Aziz, berkata ketika anggota Unit Risikan PPM cuba membuat pemeriksaan, pemandu van terbabit memecut kenderaannya untuk melarikan diri.

 "Anggota PPM mengejar suspek sejauh 3.2 kilometer sebelum van terbabit terbabas di bahu kiri jalan berhampiran kawasan Batu 5, Jalan Kinabutan, manakala pemandu sempat melarikan diri.

"Pemeriksaan terhadap van itu menemui 25 kotak rokok iaitu masing-masing 7,800 bungkusan rokok jenama Apache dan 9,700 jenama A1, serta satu unit walkie talkie," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 Mohd Yazib berkata, pihaknya percaya semua rokok yang dirampas itu tidak bercukai dan diseludup masuk ke daerah ini untuk dijual di pasaran tempatan.

 "Kesemua barang rampasan itu termasuk van dianggarkan bernilai kira-kira RM189,000 dibawa ke pejabat PPM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967," katanya.

 

 

Sumber: Bharian

Comment