Pelajar Sabah Di Semenanjung Tidak Perlu Pulang – Yusof
18:03 Mar 19, 2020  |  By SabahKini2
Pelajar Sabah Di Semenanjung Tidak Perlu Pulang – Yusof

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, tindakan untuk pulang ke Sabah akan menyukarkan pelajar kerana ia melibatkan bebanan kos perjalanan iaitu tambang balik ke Sabah dan kos untuk balik semula ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) m

KOTA KINABALU: Pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung dinasihatkan supaya tidak pulang ke Sabah dan terus tinggal di asrama atau tempat penginapan masing-masing.

Menteri Pelajaran dan Inovasi  Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, tindakan untuk pulang ke Sabah akan menyukarkan pelajar kerana ia melibatkan bebanan kos perjalanan iaitu tambang balik ke Sabah dan kos untuk balik semula ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing.

Menurutnya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau keadaan pelajar-pelajar  Sabah di Semenanjung dari semasa ke semasa melalui Pejabat Yayasan Sabah dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.  

Selain itu katanya, tempoh masa dan proses perjalanan dalam keadaan sesak akan mendedahkan pelajar dengan jangkitan virus COVID-19.

“Kita sudah menghubungi beberapa ketua pelajar di IPT di Semenanjung dan kebanyakan pelajar Sabah berada di kampus kerana pihak universiti mahu mereka terus berada di kampus bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

“Bagaimanapun, kita turut mendapat makluman terdapat pelajar Sabah di Semenanjung yang selamat pulang ke negeri ini.

“Semua pelajar tajaan Yayasan Sabah yang belajar di sekolah menengah dan sekolah berasrama penuh sudah pulang ke Sabah minggu lalu berikutan cuti sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Pihaknya dimaklumkan Pengarah Pejabat Perhubungan Kerajaan Negeri Sabah turut memastikan tiada pelajar Sabah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yusof berkata, setakat ini seramai 3,260 pelajar tajaan menuntut di luar Sabah termasuk di luar negara. Daripada jumlah itu seramai 2,136 adalah tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan 1,124 pelajar di bawah tajaan Yayasan Sabah termasuk 276 pelajar sekolah menengah.

Dalam pada itu, kementeriannya juga sedang berusaha mendapatkan bilangan pelajar Sabah yang belajar atas perbelanjaan sendiri.

“Kementerian Pelajaran dan Inovasi mengambil langkah pemantauan secara berterusan dalam usaha menangani gejala wabak ini dan kita berharap usaha ini dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Ia bagi memastikan kebajikan dan keselamatan semua pelajar di negeri ini tidak terabai. Setakat ini keadaan terkawal dan saya merayu semua pelajar dan ibu bapa serta rakyat semua peringkat dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang digariskan oleh pihak kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu katanya, semua pusat latihan dan kolej milik kerajaan negeri ditutup sehingga 31 Mac 2020. Bagaimanapun pelajar yang tinggal di asrama diberi dua pilihan.

Menurutnya, pelajar dibenarkan  pulang ke kampung atau rumah  dan bas disediakan untuk ke stesen antara bandar di Kota Kinabalu namun dengan kos tambang atas tanggungan sendiri.

Katanya, pelajar juga boleh tinggal di asrama dengan bekalan makanan dan kafeteria dibuka mengikut jadual.

Beliau berkata, pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur melalui talian 03-9284 2108 atau Puan Idrawati 0168345145.

Di samping itu, sebarang pertanyaan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, boleh terus menghubungi Bilik Gerakan KPT yang beroperasi 24 jam, di talian 03-8870 6777, 03-8870 6949, 03-8870 6628, dan 03-8870 6623.- UB

Comment