Kira-kira 50,000 termasuk ATM bantu kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan
14:03 Mar 22, 2020  |  By SabahKini2
Kira-kira 50,000 termasuk ATM bantu kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan

Jelas Ismail Sabri penglibatan ATM bermula pukul 12 tengah hari tadi kerana masih terdapat 10 peratus rakyat Malaysia tidak mematuhi arahan berkenaan.

KIRA-kira 50,000 anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia digerakkan bermula hari ini bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang wabak Covid-19.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob berkata, selain ATM dan polis turut membantu penguatkuasaan arahan tersebut adalah anggota Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan  Rela.

Jelas Ismail Sabri penglibatan ATM bermula pukul 12 tengah hari tadi kerana masih terdapat 10 peratus rakyat Malaysia tidak mematuhi arahan berkenaan.

“Walaupun laporan polis menunjukkan 90 peratus rakyat mematuhi arahan berkenaan namun jumlah baki 10 peratus bukan kecil.

“Negara kita mempunyai jumlah pendidik seramai 32 juta dan 10 peratus daripada jumlah itu kira-kira 3.2 juta tidak mematuhi. Masih ramai,” kata Ismail Sabri dalam sidang media sebentar tadi.

Anggota berkenaan akan melakukan tugas secara bersama seperti sekatan jalan raya dan rondaan kawasan.

Malah anggota terbabit juga akan diletakkan di kawasan pasar dan pasar raya bagi memastikan rakyat tidak berhimpun dalam satu kawasan terlalu ramai.

Anggota terbabit juga akan memastikan pengguna menjarakkan diri sejauh satu meter antara satu sama lain ketika membeli barangan keperluan.-SM

Comment