COVID-19: 123 kes baharu, angka kematian kini 10
19:03 Mar 22, 2020  |  By SabahKini2
COVID-19: 123 kes baharu, angka kematian kini 10

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kematian ke-10 itu membabitkan seorang lelaki Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh, iaitu kes ke-259.

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat penularan wabak COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 kematian setakat petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kematian ke-10 itu membabitkan seorang lelaki Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh, iaitu kes ke-259.

Lelaki itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac lalu selepas mengalami simptom pada 8 Mac lalu.

"Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 14 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatannya semakin merosot.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, 22 Mac 2020," katanya.

Kematian lelaki warga emas itu adalah yang kedua hari ini selepas kematian seorang doktor perubatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

Sementara itu, setakat hari ini, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 25 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan dilepaskan daripada wad adalah sebanyak 139 kes.

Comment