Nizam sambut baik makmal COVID-19 di Tawau, Sandakan
16:04 Apr 07, 2020  |  By SabahKini2
Nizam sambut baik makmal COVID-19 di Tawau, Sandakan

Menurutnya, penubuhan makmal berkenaan di daerah ini harus disegerakan supaya dapat mempercepatkan proses ujian pesakit COVID-19.

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyambut baik penubuhan makmal penyakit COVID-19 di daerah Tawau dan Sandakan.

Beliau melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana bersetuju menubuhkan makmal berkenaan di daerah ini.

"Sebelum ini kita sudah mendesak kerajaan untuk memperluaskan lokasi makmal berkenaan pada 31 Mac lalu terutamanya di daerah ini kerana Tawau sudah diisytiharkan sebagai zon merah epidemik.

"Hal ini kerana, di negeri Sabah hanya mempunyai sebuah Makmal Kesihatan Awam (MKA) di Kota Kinabalu yang sudah pasti tidak dapat menampung jumlah pesakit untuk mendapatkan ujian saringan wabak COVID-19 di seluruh negeri," katanya.

Menurutnya, penubuhan makmal berkenaan di daerah ini harus disegerakan supaya dapat mempercepatkan proses ujian pesakit COVID-19.

"Selain itu, makmal berkenaan juga bertanggungjawab terhadap ujian sampel di pusat bandar di sekitar Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Sandakan.

"Kita sedia maklum, buat masa ini semua ujian wabak terbabit dihantar ke makmal di Kota Kinabalu dan mengambil masa yang agak lama. Sedangkan mereka yang menjalani ujian saringan masih berada di luar yang membolehkan penyebaran wabak berlaku," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah sudah membuat kenyataan media baru-baru ini bahawa KKM akan menubuhkan makmal COVID-19 di daerah Tawau dan Sandakan. 

Sehingga kini, Tawau kekal daerah tertinggi mencatatkan kes Covid-19 dengan jumlah 67 kes disusuli Lahad Datu yang telah mencatat jumlah kes sebanyak 38 manakala Kota Kinabalu daerah ketiga tertinggi dengan 34 kes.

Sandakan pula daerah keempat tertinggi merekodkan Covid-19 dengan jumlah sebanyak 19 kes manakala Tuaran dan Kinabatangan masing-masing kekal dengan 17 kes.

Lain-lain daerah yang mempunyai rekod Covid-19 setakat ini ialah Beaufort dengan jumlah sembilan kes, Kunak (8), Putatan (7), Penampang (6), Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (3), Ranau (2), Semporna (2), Tambunan (1), Keningau (1).

Kes kematian di Sabah juga kekal dengan dua kes iaitu berlaku di Tawau serta Tambunan.

Sementara itu, Sabah kekal negeri kelima tertinggi mencatat kes Covid-19 selepas Selangor yang kini merekodkan 970 kes, Kuala Lumpur (640) dan Johor (468) dan Sarawak (273).

1 Comment