COVID-19: Dua lelaki langgar PKP dihukum cuci tandas awam 3 bulan
05:04 Apr 17, 2020  |  By SabahKini2
COVID-19: Dua lelaki langgar PKP dihukum cuci tandas awam 3 bulan

Chok mengaku bersalah dengan sengaja berada di Inanam Taipan di hadapan kedai Evolution Automart pada jam 10.15 malam pada 11 April tanpa kebenaran polis, sementara Mohd Daud mengaku berada di atas jalan raya dekat mini Putrajaya pada jam 9.40 malam pada

KOTA KINABALU: Dua lelaki yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat dengan membersihkan tandas awam selama tiga bulan.

Juruteknik penyaman udara Adrian Chok Ken Kit, 23, dan AK Mohd Dauk Hj Sulaiman, 33, yang bekerja sendiri, dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja komuniti selama empat jam sehari atau tiga bulan penjara selepas mereka mengakui terhadap kesalahan itu pada Rabu.

Majistret Lovely Natasha Charles ketika menjatuhkan hukuman itu berkata orang ramai mungkin tidak tahu apa itu khidmat masyarakat dan oleh itu menyatakan bahawa kedua-dua mereka akan membersihkan tandas awam yang kotor.

Beliau selanjutnya memerintahkan kedua-duanya membersihkan tandas awam sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat dan tempat tandas awam itu akan ditentukan oleh Pegawai Parol.

Lovely memutuskan bahawa perintah itu bermula selepas PKP berakhir.

Terdahulu, Chok mengaku bersalah dengan sengaja berada di Inanam Taipan di hadapan kedai Evolution Automart pada jam 10.15 malam pada 11 April tanpa kebenaran polis, sementara Mohd Daud mengaku berada di atas jalan raya dekat mini Putrajaya pada jam 9.40 malam pada 11 April, juga tanpa kebenaran polis.

Mereka melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama yang memperuntukakn denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam dilantik Lim Ming Zoong @ Lawrence, mewakili Chok dan Mohd Daud, memohon untuk mereka menjalani Perintah Kehadiran Wajib.

Chok dan Mohd Daud turut memberitahu mahkamah bahawa mereka mahu pergi ke bank sebelum mereka ditangkap.

Pendakwaan memohon satu hukuman pencegahan kerana kedua-dua lelaki itu melakukan kesalahan pada lewat malam tanpa alasan munasabah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Sementara itu, Chok dan Mohd Daud turut didakwa secara berasingan memiliki syabu. Pendakwaan memohon satu tarikh sebutan lain sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah menetapkan sebutan pada 8 Julai dan 6 Jun masing-masing untuk kes Chok dan Mohd Daud, dan membebaskan mereka dengan ikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin setiap seorang. -DE

Comment