UMNO Sabah akan terus kekal relevan- Bung Moktar
22:05 May 12, 2020  |  By SabahKini2
UMNO Sabah akan terus kekal relevan- Bung Moktar

UMNO bukan sekadar sebuah parti, sebaliknya UMNO adalah sebuah perjuangan. UMNO mahu bangkit semula. Dan ahli-ahli UMNO serta rakyat mengharapkan kebangkitan yang lebih baik oleh UMNO pada PRU yang akan datang.

Sempena sambutan Hari Ulangtahun UMNO ke-74 barisan kepimpinan parti itu berkesempatan memberikan ucapan ringkas melalui video dalam talian untuk terus menyuntik semangat juang kepada ahli-ahli UMNO terutamanya akar umbi agar mereka kekal teguh serta terus bersama mendukung dan mempertahan asas perjuangan parti tersebut. 

Terdapat juga ucapan-ucapan daripada kepimpinan UMNO di negeri-negeri di seluruh negara termasuklah ucapan daripada Pengerusi UMNO Negeri Sabah, YB Dato' Sri Bung Moktar Radin. 

Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa UMNO berupaya untuk memperbaiki prestasi dan menawan semula hati rakyat, sekiranya ahli di semua peringkat memberi keutamaan kepada perkara yang sepatutnya. 

Beliau dipetik sebagai berkata, "Ini pada saya dapat kita lakukan dengan syarat, kepimpinan dan ahli-ahli UMNO di semua peringkat harus mengamalkan konsep wala', harus mengamalkan uniti. Kalau kita hanya berbicara soal perpaduan, soal uniti, tetapi bila sampai masanya, (kebanyakannya) bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing."

Menurut Bung, UMNO bukan sekadar sebuah parti, sebaliknya UMNO adalah sebuah perjuangan. UMNO mahu bangkit semula. Dan ahli-ahli UMNO serta rakyat mengharapkan kebangkitan yang lebih baik oleh UMNO pada PRU yang akan datang. 

"Bagaimana kita harus membangkit perjuangan UMNO kalau kita asyik 'mengasak' (atau menghentam) antara satu sama yang lain? Dan ini bukanlah sesuatu yang baik kalau kita tidak berhentikan perkara-perkara seperti ini," sambung beliau.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu, jika 'friendly fire' ini dapat dihindari, UMNO berpeluang untuk terus diterima rakyat.

"Saya yakin pemimpin-pemimpin UMNO ini matang, kita ingin melihat UMNO itu terus disenangi rakyat, UMNO itu terus diterima oleh rakyat. Justeru, dalam masa di mana UMNO kalah ini, kita seharusnya mengambil iktibar dan seterusnya melaksanakan apa-apa langkah yang baik untuk memastikan bahawa UMNO tetap di hati rakyat," ujar beliau lagi.

Tambah Bung dalam perkembangan  keadaan konsep politik negara yang berubah-ubah ketika ini  UMNO sering dituduh, difitnah, dikeji dengan pelbagai tohmahan oleh Pakatan Harapan (PH), namun UMNO mampu membuktikan bahawa akar umbi akan tetap bersama berjuang bersama-sama parti, ujarnya.

" Ini terbukti dengan beberapa pilihanraya kecil yang telah dilalui sebelum ini rakyat masih memihak kepada BN/UMNO menjelaskan UMNO masih menjadi pilihan rakyat yang sebelum ini tertipu dengan pelbagai janji manis (PH) semasa PRU ke-14 baru- baru ini.

Di akhir ucapan beliau Bung memberikan jaminan kepada Presiden dan rakan-rakan kepimpinan di Semenanjung, bahawasanya selaku Pengerusi UMNO Negeri Sabah, beliau serta barisan kepimpinan UMNO negeri itu akan memastikan bahawa UMNO Sabah tetap relevan, dan tetap diterima rakyat.

 

2 Comments