5 lagi ditahan sindiket jual dokumen ujian Covid-19 palsu
10:06 Jun 20, 2020  |  By SabahKini2
5 lagi ditahan sindiket jual dokumen ujian Covid-19 palsu

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menjualnya pada harga RM120 kepada “pelanggan”, khususnya kepada warga asing untuk

SHAH ALAM: Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 dengan menahan 5 lagi individu, termasuk dalangnya dalam 3 serbuan berasingan di Seksyen 25 di sini dan Klang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menjualnya pada harga RM120 kepada “pelanggan”, khususnya kepada warga asing untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira 6.30 petang di sebuah rumah di Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini berdasarkan hasil risikan yang menyaksikan polis menahan seorang lelaki berumur 58 tahun, selepas dia mengaku terlibat dalam kegiatan itu bersama beberapa individu lain.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi itu berperanan sebagai ejen dan ‘runner’ untuk mencari pelanggan dan menawarkan perkhidmatan (pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19) kepada warga asing atau majikan yang menggaji pekerja asing.

“Bertindak atas maklumat suspek pertama, selang 2 jam selepas itu, polis menyerbu sebuah rumah di Klang dan menahan 2 lelaki warga India serta dalang sindiket, iaitu seorang lelaki bertaraf penduduk tetap. Mereka disyaki berperanan sebagai pengubah suai dan mencetak dokumen palsu berkenaan,” katanya pada sidang media semalam.

Baharudin berkata, siasatan lanjut ke atas 4 suspek itu membawa kepada serbuan ke-3 di sebuah premis perniagaan di Pandamaran, Klang yang menyaksikan polis menahan seorang wanita warga India yang dipercayai diupah dalang itu untuk menghasilkan dokumen palsu dengan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 daripada hospital swasta.

Katanya, siasatan mendapati wanita itu bekerja di syarikat pembekalan pekerja milik dalang berkenaan dan semakan menunjukkan perniagaan itu berdaftar, tetapi ia menjalankan kegiatan “sampingan”, iaitu pemalsuan dokumen berkenaan.

“Polis masih menyiasat jumlah sebenar warga asing yang telah membeli dokumen palsu itu dan menjejaki saki-baki sindiket berkenaan. Semakan lanjut ke atas suspek mendapati 3 warga India itu tidak mempunyai pasport, manakala kedua-dua lelaki tempatan tiada rekod jenayah lampau.”

Katanya, selain memalsukan dokumen keputusan ujian saringan, sindiket itu didapati turut menjual pasport dan visa pelbagai negara yang dipercayai palsu pada harga RM50 kepada pendatang asing serta majikan.

Beliau berkata, semasa tangkapan dalang sindiket, polis merampas kira-kira 80 pasport India, Nepal, Filipina dan Indonesia yang disyaki palsu, selain pelbagai barangan berkaitan, antaranya salinan visa, kad imigresen, kertas pencetakan, komputer riba, komputer, pencetak, telefon bimbit, buku bank serta beberapa laporan keputusan palsu ujian saringan Covid-19.

3 Comments