Yakubah Khan antara lima angkat sumpah senator
10:06 Jun 22, 2020  |  By SabahKini2
Yakubah Khan antara lima angkat sumpah senator

Yakubah berkata, beliau akan memanfaatkan peluang sebagai senator untuk mengangkat isu-isu rakyat di Sabah seperti pembangunan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

KETUA Umno Bahagian Sepanggar Datuk Yakubah Khan antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, hari ini.

Selain Yakubah, turut mengangkat sumpah jawatan adalah Setiausaha Kehormat Pergerakan Wanita PBB Sarawak Susan Chemerai Anding; Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak Rita Sarimah Patrick Insol dan Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Bawang Assan Robert Lau Hui Yew.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran.

Kesemua mereka adalah lantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seorang lagi senator iaitu Datuk Bashir Alias, mengangkat sumpah bagi penggal kedua.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Yakubah berkata, beliau akan memanfaatkan peluang sebagai senator untuk mengangkat isu-isu rakyat di Sabah seperti pembangunan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu, Vigneswaran dalam ucapan aluan berkata, pelantikan itu memberi peluang kepada mereka sebagai ahli Dewan Negara untuk memberi khidmat bakti serta sumbangan kepada bangsa dan negara di peringkat badan legislatif tertinggi negara.

Pada majlis angkat sumpah kali terakhir bagi Vigneswaran sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, beliau berharap ahli Dewan Negara akan meningkatkan mutu perdebatan dan mematuhi ikrar taat setia.

"Tidak kurang pentingnya pematuhan ahli-ahli yang berhormat kepada lunas-lunas keperibadian mulia dan berketrampilan akan membantu memperkasakan imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi," katanya.

 

2 Comments