Kolej Universiti Yayasan Sabah potong lagi gaji 50%, rancang buang pekerja
10:06 Jun 25, 2020  |  By SabahKini2
Kolej Universiti Yayasan Sabah potong lagi gaji 50%, rancang buang pekerja

Sejak 2018 dan 2019 dipotong serta tidak dibayar gaji malah diberhentikan kini tahun 2020 sekali lagi kakitangan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) menerima nasib malang dipotong gaji 50% atau bakal dibuang. Ia seperti arahan Pengarah Yayasan Sabah

14 Jun lalu Sabahkini2 melaporkan Yayasan Sabah akan membuat pemotongan gaji kepada anak syarikatnya seperti Innoprise Jungle Lodge Sdn Bhd, Borneo Rainforest Lodge Bhd dan Inno Travel & Tours Sdn Bhd dari kadar serendah 10% hingga 50% sebulan akan dilaksana mulai bulan Julai 2020.

Sekalipun Ketua Menteri Shafie Apdal berjanji April lalu tiada pemotongan gaji atau pemberhentian membabitkan ribuan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah.

[ARTIKEL BERKAITAN- Shafie 'capati' janji, Yayasan Sabah potong gaji pekerja sehingga 50 % mulai Julai 2020? ]

Shafie 'capati' janji, Yayasan Sabah potong gaji pekerja sehingga 50 % mulai Julai 2020?

Hari ini portal FMT pula melaporkan sekali lagi Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) membuat kejutan ‘ulangan’ merancang mengurangkan gaji kakitangan sehingga sebanyak separuh dan mungkin memberhentikan ratusan lagi kerana ia bergelut dengan bilangan pelajar baru yang rendah kerana pandemik Covid-19.

Pengurangan gaji dan pemberhentian pekerja bukanlah baru Kolej Yayasan Sabah (UCSF) itu kerana ia sudah berlaku sebelum ini dan penyelesaiannya bersifat sementara.

Sabahkini2 pada tahun 2018 dan 2019 pernah melaporkan seramai 57 orang kakitangan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) tidak dibayar gaji dan bayaran-bayaran saraan yang lain sehingga tiga bulan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 21 DIS 2018 - "Dah 3 bulan kami tidak dibayar," kata pekerja Kolej Universiti Yayasan Sabah ]

[ARTIKEL BERKAITAN: 21 OKT 2019 - Lagi Kolej Universiti Yayasan Sabah 3 bulan tiada gaji, buang pekerja aniaya rakyat ]

Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dalam satu memo yang tular berkata rancangan pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja merupakan sebahagian langkah pengurangan kos, berikutan bilangan pengambilan baru yang rendah bagi semester April.

“Walaupun jutaan ringgit bantuan kewangan dan geran biasiswa diperolehi oleh UCSF dari pelbagai agensi, hakikatnya misi pengambilan pelajar baru gagal,” kata Naib Canselor Mohamed Haleem Mohamed Razi dalam memo itu.

“Hanya 18% daripada sasaran semester April dicapai. Keadaan ini sangat menjejaskan kedudukan kewangan UCSF.”

Menurut skim pengurangan kos itu, kakitangan akan dikenakan pengurangan gaji kasar sebanyak 50% dengan jam bekerja dikurangkan kepada 20 jam seminggu.

Sekiranya kedudukan kewangan universiti itu tidak meningkat pada September, jumlah kakitangan aktif akan dikurangkan kepada bilangan minimum untuk mengekalkan operasi.

“Dan meletakkan sebahagian daripada staf bawah program cuti tanpa gaji (CTG). Dalam tempoh dari Oktober dan seterusnya, kakitangan yang terlibat dengan program ini dibolehkan untuk mencari kerja di tempat lain,” katanya dalam memo yang dikeluarkan kepada kakitangan universiti semalam.

Bagaimanapun kenyataan Naib Canselor UCSF Mohamed Haleem Mohamed Razi itu tidak mengejutkan kerana ia mengikut arahan sebagaimana diumumkan oleh Datuk Jamalulkiram Datuk Zakaria Pengarah Yayasan Sabah yang juga Ketua Eksekutif ICSB dalam  mesyuarat lembaga pengarah Yayasan Sabah pada 4 Jun 2020 baru-baru ini.

Lagipun Yayasan Sabah hanya sibuk mahu menyaman Tan Sri Musa Aman berbanding mahu menyelesaikan pengurangan gaji dan pembuangan pekerja anak-anak syarikatnya.

Satu persoalan ialah apakah ini menunjukkan kerajaan negeri tidak akan mampu membayar gaji penjawat awam negeri lagi? Kerajaan negeri memulakan dengan GLC seperti Yayasan Sabah dan anak syarikatnya? Nampaknya kewangan kerajaan negeri semakin parah. Yayasan Sabah pernah catat keuntungan 373 % tahun 2017. Mengapa sekarang Yayasan Sabah sangat teruk. 


5 Comments