Kewarganegaraan tidak diberikan secara mudah hanya kerana lahir di Malaysia- Ismail
15:07 Jul 23, 2020  |  By SabahKini2
Kewarganegaraan tidak diberikan secara mudah hanya kerana lahir di Malaysia- Ismail

"Bukan sewenang-wenangnya kita boleh beri kewarganegaraan kepada setiap kanak-kanak yang lahir di Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan memberikan kewarganegaraan secara mudah kepada mana-mana individu hanya kerana lahir di negara ini tanpa siasatan ikut undang-undang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata ketika kerajaan mahu menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa dokumen di Malaysia, siasatan sewajarnya perlu dilakukan.

Katanya, penting ibu bapa kanak-kanak terbabit memiliki dokumen perkahwinan yang sah.

Tegasnya, semua peraturan dan prosedur permohonan kewarganegaraan itu penting untuk dipatuhi bagi memastikan Malaysia kekal selamat, aman dan tenteram.

"Bukan sewenang-wenangnya kita boleh beri kewarganegaraan kepada setiap kanak-kanak yang lahir di Malaysia.

"Sebaliknya, kena ada dokumen perkahwinan ibu bapa yang sah. Kalau ada permohonan lengkap, kita akan siasat, proses dan beri sijil kewarganegaraan ini.

"Mana-mana anak warga Malaysia yang lahir luar negara, yang ada masalah mendaftarkan anak mereka sebagai warga Malaysia, boleh berbuat demikian di kedutaan atau bertemu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila pulang ke tanah air," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bertanya kaedah penyelesaian kira-kira 250,000 individu tanpa dokumen di Malaysia, yang mungkin sukar dikesan jika mereka terbabit dengan jenayah kerana tiada sebarang rekod dan dokumen pengenalan diri.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai peratusan permohonan kewarganegaraan dari Bintulu, Ismail memaklumkan sebanyak 139 permohonan diterima dari kawasan Bintulu antara 2015 hingga 30 Jun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak dua permohonan diluluskan, 105 sedang diproses, lima ditolak dan 27 dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat," katanya.

Menjawab soalan tambahan King Sing yang meminta Kementerian Dalam Negeri mewujudkan prosedur jelas bagi permohonan kewarganegaraan, Ismail memaklumkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu sudah diwujudkan bermula Januari tahun ini.

"Cuma yang penting kepada rakyat Malaysia, apabila berkahwin, mesti melalui perkahwinan yang sah dan ada dokumen perkahwinan yang sah.

"Jangan kahwin secara tidak sah atau tidak daftar perkahwinan. Jika ada dokumen ini dan permohonan lengkap, kita boleh proses dengan pantas dan mudah permohonan kewarganegaraan," katanya.

9 Comments