Najib masih Ahli Parlimen - Yang Dipertua Dewan Rakyat
15:07 Jul 29, 2020  |  By SabahKini2
Najib masih Ahli Parlimen - Yang Dipertua Dewan Rakyat

"Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, taraf beliau sebagai Ahli Parlimen tidak berubah sehinggalah semua proses rayuan selesai,"

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, hari ini, masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Pekan sehingga selesai proses rayuan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga boleh menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung hingga 27 Ogos ini.

"Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, taraf beliau sebagai Ahli Parlimen tidak berubah sehinggalah semua proses rayuan selesai," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya dikenakan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Najib, 67, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan ke atas Najib. – BERNAMA

3 Comments