KPN jamin tindakan tegas laporan video tular jenayah judi di Sungai Buloh
11:08 Aug 09, 2020  |  By SabahKini2
KPN jamin tindakan tegas laporan video tular jenayah judi di Sungai Buloh

Tan Sri Abdul Hamid Bador berterima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan terbabit menerusi satu video yang tular semalam, beliau berkata, tindakan tegas pasti diambil termasuk terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh.

Sambil berterima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan terbabit menerusi satu video yang tular semalam, beliau berkata, tindakan tegas pasti diambil termasuk terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.

Abdul Hamid menegaskan, Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.

"Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini," katanya 

Dua video yang tular menerusi laman sosial Facebook atas nama akaun Hot Burger Malaysia semalam, mendedahkan mengenai kegiatan premis mesin judi dan aktiviti penjualan rokok seludup dan operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing.

Satu video berdurasi 13.28 saat sudah ditonton oleh 3.6 juta orang selepas 18 jam disiarkan, satu lagi video berdurasi 8.29 saat ditonton oleh 1.4 juta penonton.

Sementara itu satu sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh oleh ketua polis daerah berkenaan menafikan laporan kurang tepat itu dan berjanji akan menyiasat laporan video tular itu.

Pada Mei 2019 Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan hubungan dengan sindiket judi dan maksiat sebelum mereka dikenakan tindakan. Justeru, Abdul Hamid berkata, mana-mana pegawai dan anggota polis yang sebelum ini berkompromi dengan ketua dan anggota sindiket judi dan maksiat dinasihatkan untuk mengingati semula ikrar mereka untuk menegakkan undang-undang.

 
3 Comments