GLC Sabah Disaran Agih Keuntungan Kepada Rakyat Menerusi CSR- Musa
10:01 Jan 03, 2018  |  By SabahKini2
GLC Sabah Disaran Agih Keuntungan Kepada Rakyat Menerusi CSR- Musa

SANDAKAN: Syarikat milik kerajaan negeri (GLC) Sabah dan agensi kerajaan negeri yang memiliki perniagaan maju dan mendapat keuntungan disaran turut mengagihkan keuntungan tersebut kepada rakyat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang menyarankan perkara itu berkata inisiatif murni itu dapat membantu menyejahterakan kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan.

"Ini caranya, dan hari ini dan semalam koperasi-koperasi pembangunan  desa melaksanakan CSR dengan menyumbangkan kira-kira 1,000 beg kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Libaran," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program pemimpin bersama rakyat di Dewan kampung Padas di sini, hari ini.

Pada program itu, 300 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Padas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran menerima sumbangan kelengkapan sekolah seperti beg, alat tulis serta buku yang disampaikan Musa.

Sumbangan berupa  wang tunai turut disampaikan kepada 20 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di majlis itu.

Musa berkata dalam kesibukan persiapan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bantuan kepada rakyat perlu terus dilaksanakan secara konsisten.

Sementara itu, ibu kepada empat anak yang masih bersekolah Rosmawati  Maideen, 31, berkata bantuan kelengkapan sekolah daripada kerajaan untuk anak-anaknya itu sangat bermakna kerana dapat mengurangkan kos perbelanjaan khususnya untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini.

"Saya tidak perlu lagi membeli barang persekolahan mereka dan kalau membeli kelengkapan sekolah ini sudah tentu mengeluarkan belanja yang besar," katanya yang dua anaknya belajar di SK Padas dan dua lagi di SMK Libaran.

Siti Nur Shahira, 25, turut menyatakan rasa syukur terhadap keprihatinan kerajaan negeri memberi bantuan kelengkapan sekolah kepada dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun yang bersekolah di SK Padas.

"Mereka masih kecil dan cukup gembira dengan hadiah buka sekolah ini," katanya dan berharap sumbangan itu dapat diteruskan di masa hadapan.

Untuk rekod Kerajaan Negeri telah menerima RM 3.53 juta daripada Korporasi Pembangunan Desa (KPD) sebagai bayaran balik hutang dan pembayaran dividen tahun lalu membuktikan GLC Sabah seperti  KPD jika diurus secara baik akan memperolehi keuntungan

-- Sumber asal BERNAMA

2 Comments