PKR tanding 14 kerusi, guna logo sendiri di Sabah
12:09 Sep 10, 2020  |  By SabahKini2
PKR tanding 14 kerusi, guna logo sendiri di Sabah

PKR tetap akan gunakan logo PKR," kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek

PKR Sabah akan tetap menggunakan logo sendiri pada pilihan raya negeri akan datang walaupun DAP mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding menggunakan logo Warisan.

"PKR tetap akan gunakan logo PKR," kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek

Warisan mengetuai pakatan politik dengan Pakatan Harapan (PH) dan Upko sebagai sekutunya.

Presiden Warisan, Shafie Apdal sebelum ini berkata beliau tidak akan memaksa sekutu parti itu menggunakan logo bersama jika mereka enggan berbuat demikian.

Samsudin dalam satu kenyataan berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR adalah "munasabah" iaitu 14 kerusi dalam pilihan raya negeri pada 26 September ini.

"Walaupun parti pernah bertanding jumlah kerusi lebih besar, atas semangat setiakawan dengan rakan seperjuangan, khususnya Warisan, Keadilan hanya bertanding 6 kerusi parlimen dan 8 Dun pada 2018.

"Keanggotaan Keadilan Sabah telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

"Atas sebab itu, parti kali ini ingin meletakkan 14 orang calon Dun, satu peningkatan yang munasabah memandangkan bilangan kerusi Dun juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk pilihan raya negeri Sabah 2020," kata Simsudin.

PKR menyerahkan tiga kerusi yang ditandinginya sebelum ini iaitu Kadamaian, Kuala Penyu dan Karanaan.Sebagai pertukaran, PKR akan diberikan sembilan kerusi yang sebelum ini tidak ditandinginya iaitu Segama, Limbahau, Pintasan dan Sungai Manila serta kerusi Klias, Sook, Kemabong, Membakut dan Petagas yang sebelum ini ditandingi oleh Warisan.

PKR juga akan mengekalkan lima kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu, iaitu Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli dan Matunggong.

 

5 Comments